Malaysia dijangka tidak alami kemelesetan

Iklan
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi memandangkan struktur kepelbagaian ekonominya yang kurang bergantung kepada komoditi, selain mengamalkan dasar pragmatik dan responsif, kata Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, sektor pertanian dan perlombongan kini hanya menyumbang 14 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 57 peratus dan sektor pembuatan pula sebanyak 24.3 peratus.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bank dan syarikat perkhidmatan kewangan Malaysia mempunyai wajaran yang ketara dalam indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI dan indeks kemampanan FTSE4Good Bursa Malaysia.

"Tujuh saham perbankan ini sahaja iaitu Maybank, Public Bank, CIMB Bank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan Alliance Bank mempunyai gabungan permodalan pasaran berjumlah RM325.36 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah permodalan pasaran RM1.65 trilion setakat akhir Jun 2022,” katanya.

Iklan

Abdul Wahid berkata, sistem kewangan ini dilengkapi dengan pasaran hutang dan modal ekuiti yang berfungsi dengan baik, yang bernilai RM3.5 trilion pada 30 Jun, 2022 dengan pasaran modal hutang menyumbang RM1.8 trilion dan pasaran modal ekuiti membentuk RM1.7 trilion.

"Malaysia juga tempat pasaran modal Islam terkemuka dunia yang bernilai RM2.2 trilion, mewakili hampir dua pertiga daripada jumlah pasaran modal,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, keteguhan dan kestabilan sistem kewangan adalah faktor penting daya tahan Malaysia, apabila bank tempatan mempunyai permodalan yang baik, cair, diurus secara lebih baik serta dikawal dan diselia dengan berkesan oleh Bank Negara Malaysia.

"Bank juga terus melaksanakan peranan perantaraan mereka dengan menggerakkan dana untuk disalurkan kepada sektor ekonomi yang produktif,” katanya.

Abdul Wahid berkata, di peringkat global, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China serta krisis Ukraine-Rusia juga menyebabkan harga komoditi dan kos logistik melonjak seterusnya mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi di seluruh dunia dan ini memaksa bank-bank pusat mengetatkan dasar monetari masing-masing untuk mengekang inflasi.

"Ini berkemungkinan menyebabkan kelembapan ekonomi dan potensi kemelesetan di sesetengah negara pada 2023,” katanya. - Bernama