PULAU INDAH – Stor simpanan barang kitar semula di kilang di Jalan Sungai Chandong 3, Bandar Armada Putra, di sini, hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran, pagi tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 9.52 pagi.
Katanya, seramai 41 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, BBP Sungai Pinang dan BBP Banting ke lokasi.
"Anggota bersama tiga jentera dan dua 'tanker' tiba di lokasi jam 10.12 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan tempat penyimpanan barang kitar semula membabitkan struktur terbuka dengan anggaran 92 x 30 meter persegi.
"Kerja-kerja pemadaman api turut dibantu tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kampung Delek dan tiga kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK)
"Api dapat dikawal setengah jam kemudian dan stor dianggarkan musnah 80 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.