MELAKA - Sebanyak 200 tikar ‘evamatic’ akan diedar secara percuma kepada pengunjung sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Jumaat ini.
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd (PMH), Siti Ainshah Osman berkata, tikar berukuran 4x5 meter itu akan diberikan kepada mereka yang berkeluarga bagi keselesaan sepanjang acara berlangsung.
"Sebanyak 200 tikar itu akan mula diedar pada malam sambutan tersebut dan ditambah mengikut keperluan.
"Kakitangan PMH akan edarkan kepada pengunjung terutama yang mempunyai anak kecil yang berada di sekitar pentas utama dan Dataran Sejarah agar dapat duduk bersantai dengan lebih selesa," katanya kepada Bernama.
Dijangkakan, seramai 20,000 pengunjung akan memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2022 bermula pada 8 malam yang menampilkan keunikan dengan tema busana era 50-an dan 60-an.
Bagi menampung jumlah kehadiran pengunjung di lokasi tengah-tengah pusat pelancongan itu, Dataran Pahlawan terletak bersebelahan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan turut digunakan dengan skrin gergasi dan sistem audio disediakan bagi membolehkan pengunjung mengikuti sambutan secara langsung. - Bernama