KOTA BHARU - Pengusaha produk 'timbang kilo' yang semakin aktif mempromosikan barangan mereka di media sosial mengundang ramai remaja menggunakan produk berkenaan.
Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar berkata, produk itu juga semakin mudah didapati dan dijual pada harga murah.
Beliau berkata, kebanyakan produk juga tidak mempunyai lesen yang disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakibatkan berlaku masalah kulit.
"Justeru, pengguna produk itu datang ke hospital dalam keadaan kulit tinggi steroid, salur darah halus dan komplikasi serius," katanya kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Kosmetik di sebuah sekolah di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pensyarah Kanan Unit Sains Rekonstruktif, PPSP, USM, Dr Nur Azida Mohd Nasir.
Dr Siti Fatimah Noor turut menasihatkan ibu bapa supaya mengambil tahu kandungan yang digunakan dalam produk bagi mengelakkan kesan kronik terhadap kulit anak-anak mereka.
Kempen Keselamatan Kosmetik merupakan kolaboratif antara USM untuk mendidik pelajar mengenai kosmetik selamat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Beauty Qaseh, Mohd Faizul Rohban Ahmad berkata, pengusaha produk 'timbang kilo' juga menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk produk mereka.
"Permintaan tinggi juga menggalakkan mereka gigih mengeluarkan produk yang memberi kesan dalam tempoh singkat tetapi kesannya ditanggung pengguna," katanya.