SKUAD hoki lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yakin mampu membawa pulang pingat emas pada temasya itu yang akan bermula pada 16 hingga 24 September ini di Kuala Lumpur.
Keyakinan itu dilaungkan oleh ketua jurulatih, Faizal Ismail berdasarkan persiapan, prestasi semasa dan barisan pemain berpengalaman yang akan membawa cabaran untuk skuad Hanelang.
"Kita ada nama besar seperti Mohd Akhimullah Anuar, Nukman Mohamad dan Abid Suffian Mat Roslee, iaitu pemain hoki Terengganu Hockey Team (THT) dan juga bekas atlet skuad remaja kebangsaan.
"Seorang lagi pemain kebangsaan Sharman Mat Tee sepatutnya beraksi untuk Sukma tahun ini, tetapi tidak dapat diturunkan kerana terlibat dengan skuad senior negara yang akan terbang ke Eropah pada 16 September ini untuk aksi pemanas badan sebagai persediaan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah November depan," katanya.
Terengganu diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Perlis, Kedah dan Sabah.
Faizal juga menjangkakan tidak berdepan sebarang masalah untuk mara ke perlawanan akhir dengan cemerlang, sekali gus menebus kekecewaan skuad itu pada Sukma 2018 di Perak yang menyaksikan mereka terkandas pada pusingan awal.
"Kita sudah adakan perlawanan dengan pasukan-pasukan kuat seperti Johor, Perak dan Pahang. Kekuatan kami adalah setara dan ada peluang untuk bawa pulang emas di Sukma nanti,” katanya yang akan membawa 18 pemain ke temasya berkenaan.
Dalam pada itu, jurulatih skuad hoki wanita Sukma Terengganu Shahrun Nabil Abdullah pula tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan itu memandangkan 90 peratus pemainnya adalah muka baharu yang belum berpengalaman.
"Kita tak letak sasaran tinggi untuk Sukma 2022 kerana pelbagai kekangan. Namun tak bermakna kita mahu kalah, kalau dapat mara ke separuh akhir sudah cukup baik,” katanya. - Bernama