Rumah terbakar ketika solat Isyak

Iklan
Empat beranak tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka terbakar di Jalan Bunga Kertas, Kampung Belimbing Dalam di sini, kira-kira jam 8.30 malam Selasa.

MELAKA - Empat beranak tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka terbakar di Jalan Bunga Kertas, Kampung Belimbing Dalam di sini, kira-kira jam 8.30 malam Selasa.

Mangsa, Shahrul Nizam Ibrahim, 29, berkata, ketika kejadian dia sedang solat Isyak sebelum terdengar letupan kecil antara dapur dan bilik adiknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berasa tidak sedap hati dan melulu ke dapur sebelum melihat api marak dari arah itu sebelum bergegas keluar rumah.

Kata Shahrul Nizam, ketika kejadian hanya dia berada dalam rumah manakala bapanya ke masjid berdekatan dan kakak serta adiknya belum pulang ke rumah.

"Bila ternampak api saya segera mencapai kain untuk membasahkan bumbung rumah namun tidak berjaya dan hampir lemas dengan asap tebal sebelum keluar meminta bantuan penduduk berdekatan," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, bapanya, Ibrahim Kadir, 65, berkata, dia terkejut melihat rumah yang didiami 42 tahun lalu hangus sekali gus mengakibatkan beberapa perkakas elektrik dan barangan penting termasuk wang simpanan anaknya tidak dapat diselamatkan.

Dia sedih memandangkan rumah itu meninggalkan banyak kenangan bersama Allahyarham isterinya yang meninggal dunia akibat sakit jantung dua tahun lalu.

Iklan

"Balik sembahyang Isyak tengok-tengok rumah terbakar, apa pun saya reda, dan buat sementara ini kami menumpang di rumah saudara sebelum kerja baik pulih rumah dilakukan.

"Syukur ada juga yang prihatin dan memberikan sumbangan termasuk agensi-agensi berkaitan dan jumlah kerugian belum lagi dapat dianggarkan," kata Ibrahim.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba PBK II, Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.45 malam dan setibanya di lokasi mendapati rumah berukuran 75x50 kaki persegi telah terbakar 80 peratus.

"Dua jentera dari Balai Bomba Alor Gajah dan Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dapat dikawal lebih kurang jam 9.08 malam dan api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 11.09 malam," kata beliau.