NEA 2022 pacu banyak penemuan lestari industri tempatan

Iklan
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2022 terus meningkatkan penyertaan industri dan kesedaran tentang amalan tenaga lestari yang mematuhi piawaian antarabangsa.

Bagi mengiktiraf konsep dan amalan lestari yang berfikiran ke hadapan untuk tokoh perniagaan terkemuka Malaysia dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pengurusan tenaga dan kecekapan tenaga, 12 kumpulan telah dipilih sebagai pemenang NEA bagi 20 anugerah dalam tiga kategori Pengurusan Tenaga, Bangunan Cekap Tenaga, Tenaga Boleh Diperbaharui dan Anugerah Khas.

Iklan
Iklan

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, anugerah itu akan menggalakkan lebih banyak perniagaan dan syarikat tempatan mengamalkan norma baharu dalam industri tenaga elektrik.

"Saya berharap NEA akan terus memainkan peranannya mengenal pasti organisasi di Malaysia yang berupaya meneraju pembangunan sektor tenaga lestari dalam negara dan serantau. Pencapaian ini juga turut mencerminkan usaha Malaysia dalam memacu agenda tenaga lestari.

Iklan

"Saya gembira apabila 22 penyertaan paling cemerlang dalam NEA 2022 telah dipilih mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN 2022 dan keputusannya akan diumumkan secara maya pada 15 Sept ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan NEA, pada Rabu.

Menteri itu berkata, ia juga selaras dengan visi Malaysia untuk mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil berasaskan karbon di samping membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui alternatif, seterusnya akan meletakkan Malaysia di laluan ke arah tenaga lebih bersih selaras dengan piawaian antarabangsa.

Iklan

Menerusi sokongan NEA 2022, negara bergerak selangkah lebih dekat untuk mencapai objektif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Tenaga Diperbaharui Malaysia (MyRER), bagi merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050.

Edisi kelima NEA itu menyaksikan pemenang dalam Kategori 1 (Pengurusan Tenaga), dengan Medivest Sdn Bhd membawa pulang anugerah pengurusan tenaga untuk bangunan besar di Hospital Pakar Sultanah Fatimah manakala CSC Steel Sdn Bhd memenangi pengurusan tenaga untuk anugerah industri dalam pengurusan tenaga mereka ke arah operasi proses yang cekap dan lestari.

Kategori lain, seperti Kategori 2 (Bangunan Cekap Tenaga), menyaksikan BGreen Consultancy muncul pemenang untuk bangunan hijau jenis besar di Dewan Tzu Chi Si, Kepong, sementara Kompleks Sukan Astaka, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi kategori bangunan hijau sifar.

Concord Green Energy memenangi tempat pertama dalam kategori Tenaga Boleh Diperbaharu untuk projek mereka, Loji Biogas Concord FGV Keratong 2: Pusat Kecemerlangan R&D, Tenaga Nasional Berhad juga memenangi jenis grid tempatan untuk projek PV dan mini hidronya di Pulau Tioman.

Menurut kenyataan itu, pemenang Kategori 1 dan 2 mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) manakala pemenang Anugerah Khas dalam Kategori Pembiayaan Tenaga Lestari akan diumumkan pada Majlis Anugerah NEA 2022, yang dijadualkan pada Mac 2023.

Maklumat lanjut mengenai NEA boleh didapati dengan melayari laman web rasmi NEA di https://www.nationalenergyaward.com.my/. - Bernama