Prosiding 1MDB ditangguhkan, Najib masih di HKL

Iklan
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu dan Khamis dilapangkan, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi menerima rawatan dan menjalani beberapa ujian kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB.

Iklan
Iklan

Walaupun ubat darah tinggi yang asal diberikan, Muhammad Shafee berkata, tekanan darah anak guamnya belum berada di tahap memuaskan.

Menurutnya, Najib sendiri tidak dimaklumkan oleh kakitangan berapa lama beliau akan ditahan dalam wad di HKL.

Iklan

"Beliau beritahu tidak terkejut kalau ditempatkan di HKL dalam tempoh panjang, sebab begitu banyak ujian dijalankan ke atasnya.

"Sijil cuti sakit (MC) telah disediakan oleh Jabatan Penjara dengan menyatakan cuti adalah selama dua hari bermula Rabu,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun Muhammad Shafee berkata, MC yang asal tidak diperolehi kerana Jabatan Penjara menghantar salinan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan bersambung 26 September ini.