Perebutan slot AFC sukar diramal

Iklan
Kim Swee, Nafuzi

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjangkakan kedudukan pasukan yang akan layak ke Piala AFC hanya akan terjawab selepas perlawanan terakhir Liga Super melihat kepada jurang mata yang rapat antara lawan.

Meskipun Sabah menghuni tangga kedua liga dengan 36 mata, namun beliau merasakan kedudukan itu belum selamat berbaki empat perlawanan menyaksikan pasukan lain mengekori rapat untuk mencuri mata.

Iklan
Iklan

Berbeza dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hampir pasti merangkul trofi Liga Super walaupun berbaki enam perlawanan, Kim Swee melihat pasukan seperti Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu FC (TFC) juga tidak akan memberi laluan mudah untuk terus berada di kelompok tiga terbaik liga.

"Apa sahaja boleh berlaku sebab Sabah dan NSFC masih ada empat perlawanan, manakala TFC ada lima lagi.

Iklan

"Saya tidak akan fikirkan kesemua aksi sebab yang penting adalah untuk kita hadapi satu persatu perlawanan di mana kita perlu berada di tahap terbaik agar tidak tercicir mata.

"Sudah pasti, pencabar terdekat yang saya rasa sentiasa mengekori rapat adalah NSFC dan TFC,” katanya menerusi Facebook Malaysian Football League.

Iklan

Dalam pada itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain pula enggan melihat Sabah dan NSFC sahaja sebagai pencabar sengit, sebaliknya tetap berwaspada dengan Kuala Lumpur (KL) City FC yang boleh bangkit mengejar kedudukan.

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh TFC adalah memastikan mereka tidak tercicir mata dalam baki kesemua perlawanan akan datang untuk cuba layak ke Piala AFC selepas kali terakhir layak pada musim lalu sebelum kejohanan itu dibatalkan.

"Peluang itu masih terbuka dan yang paling penting adalah kita kena menang dalam semua baki perlawanan.

"KL City pun ada kemungkinan boleh mencabar kedudukan dan sekarang kita tidak boleh nak lihat pasukan yang berada di atas sahaja sebab yang bawah pun sedang mengekori rapat.

"Apa yang penting, selepas aksi final tempoh hari, ia bukanlah pengakhiran untuk pasukan sebab banyak yang kita belajar dan pemain-pemain terutamanya pemain muda juga banyak belajar daripada pengalaman itu.

"Mereka tahu yang paling penting sekarang adalah perlawanan liga untuk layak ke Piala AFC dan akan kembali fokus," katanya.