Buka lebih banyak taska untuk kanak-kanak istimewa

Iklan
Dr Siti Mariah
PETALING JAYA - Kerajaan negeri akan memastikan lebih banyak taska yang dibuka untuk golongan anak istimewa di negeri ini.

Exco Kesihatan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, buat masa ini bilangan taska yang dibuka hanya menumpukan kepada kanak-kanak normal.

"Jumlah taska sememangnya banyak, namun banyak yang memfokuskan kepada kanak-kanak normal.

"Insya- ALLAH selepas ini, kita akan cuba pastikan seluruh negeri ini akan mempunyai taska yang mana boleh menerima anak-anak istimewa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan ketika merasmikan Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) Bertemakan Hari Autisme dan Hari Tibi Peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertempat di Dataran Petaling Jaya tadi.

Dalam pada itu, katanya, dalam soal anak istimewa serta mereka yang kurang bernasib baik ini, mereka memerlukan sokongan daripada semua pihak.

"Saya mengambil cara empati dalam soal ini, empati bermakna kita menghayati apa mereka alami, kita cuba meletakkan keadaan kita sebagaimana mereka alami.

"Kita cuba cari cara bagaimana untuk membantu mereka sekali gus memungkinkan mereka untuk menjalani kehidupan senormal yang mungkin," katanya.