HOCKADEMY akan menyertai dua kejohanan terbuka antarabangsa dalam masa terdekat sebagai aksi pemanas badan sebelum saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) tahun depan.
Pemilik Hockademy, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin berkata, Festival Hoki Bali, Indonesia bermula 17 dan 18 September diikuti Festival Hoki Vietnam ke-13 di Ho Chi Minh City merupakan dua kejuaraan dalam perhatian kelab itu.
Iklan
Iklan
"Kita ingin memberi peluang pemain beraksi di Asia Tenggara, tambahan tiada kejohanan dalam negara.
"Apabila ada banyak perlawanan, ia tentunya akan meningkatkan kecergasan dan kemahiran pemain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas Megat Shahriman lagi, dua kejohanan itu juga platform untuk memperkukuhkan jenama kelab selain mempunyai nilai komersial serta bersifat antarabangsa.
Malah beliau juga tidak menolak kemungkinan Hockademy membawa masuk pemain luar sebagai persediaan jangka panjang pembangunan kelab tersebut.
Kejuaraan di Bali bakal menyaksikan Hockademy mempertaruhkan para pemain seperti Mohd Fahmi Nasir, Muhammad Azwar Abdul Rahman, Muhammad Azrul Hasbullah, Muhammad Hafiizhuddin Zaidi, Muhammad Syafiq Mohd Sayuti, Arif Sabron dan Metdriyanto Zakaria.