Jangan cepat alpa

Iklan
Pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pemansuhan pemakaian pelitup muka menjelang negara menuju fasa endemik menerima pelbagai reaksi. - Foto hiasan 123RF

PENGUMUMAN kerajaan baru-baru ini mengenai pemansuhan pemakaian pelitup muka menjelang negara menuju fasa endemik menerima pelbagai reaksi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menetapkan bahawa keputusan tersebut diambil atas penilaian semasa kementerian.

Iklan
Iklan

Justeru, ia bergantung kepada kesedaran individu, sama ada mahu meneruskan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan atau kawasan tertutup.

Kuasa arahan tersebut kini terletak kepada pemilik premis itu sendiri sekiranya mereka mahu membenarkan pengunjung untuk masuk ke premis tanpa memakai pelitup muka atau sebaliknya.

Iklan

Berkuat kuasa 1 Mei juga, kerajaan memberikan kelonggaran kepada orang ramai – tidak perlu lagi memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan atau tempat awam.

Tidak dinafikan, lebih ramai yang gembira dengan khabar berita tersebut tetapi ada juga yang masih bimbang dan kekal dengan pendirian mahu memakai pelitup muka berikutan kes penularan wabak Covid-19 ketika ini masih tinggi.

Iklan

Berdasarkan statistik yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 1,847 kes baharu dilaporkan.

Selangor mencatat kes jangkitan paling banyak iaitu 598 kes, diikuti Kuala Lumpur (340) dan Sabah sebanyak 135 kes (setakat artikel ini ditulis).

Baru-baru ini, penulis sempat berkunjung ke sebuah pasar raya popular di Subang Jaya, Selangor bersama keluarga.

Menerusi pemerhatian penulis, ramai ibu bapa yang membawa anak-anak kecil tidak lagi mementingkan pemakaian pelitup muka. Mereka bebas berjalan dan membeli-belah tanpa sebarang perlindungan.

Begitu juga ketika penulis membawa anak ke taman permainan kanak-kanak. Bukan sahaja pelitup muka entah ke mana, malah cecair pembasmi kuman juga sudah dilupakan.

Meskipun sudah ada kelonggaran, sebagai ibu bapa atau penjaga, kita mesti memikirkan keselamatan si kecil yang mudah terdedah kepada virus. Maka, disiplin untuk penjagaan diri wajar dititikberatkan.

Apa salahnya jika kanak-kanak terus memakai pelitup muka ketika berada di dalam bangunan kerana ruang pengudaraan yang terbatas. Kita bukan sahaja berperang dengan Covid-19, malah virus-virus lain yang kita tidak nampak.

Kita tidak tahu siapa pembawa virus yang boleh menyebar wabak tanpa sedar. Kesimpulannya, janganlah kita lupakan kawalan kendiri yang telah menjadi amalan kita sejak pandemik melanda.

Sentiasalah beringat kerana negara masih belum mencapai sifar kes setakat ini. Bagi merealisasikan matlamat itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan.

Jangan anggap kelonggaran pemakaian pelitup muka sebagai kejayaan mudah yang boleh diraikan. Anggaplah ia sebagai permulaan cabaran untuk mendidik diri menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling.

KKM juga acap kali memberikan tip penting untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 jika kita menyertai aktiviti sosial atau keramaian seperti majlis perkahwinan, perlawanan bola, konsert dan sebagainya.

Antara saranan mudah yang boleh dipraktikkan adalah melakukan ujian saringan kendiri Covid-19, jangan berkumpul atau menyertai aktiviti keramaian jika tidak sihat dan paling penting, pakai topeng pelitup muka jika mengalami batuk atau selesema.

Kena ingat, penangan subvarian Omicron BA.5 lebih dahsyat berbanding varian terdahulu kerana keupayaan untuk menjangkiti lebih pantas, selain memiliki ciri immune escape.

Agensi Perubatan Kesatuan Eropah baru-baru ini juga mendedahkan akan muncul varian baharu yang hampir sama dengan strain Omicron terdahulu menjelang musim sejuk tidak lama lagi.

Apa perlu kita lakukan sebagai persediaan? Mudah sahaja, teruskan memakai pelitup muka sebagai perlindungan, selain menjaga kebersihan diri. Cuci tangan selepas melakukan sebarang sentuhan atas apa juga permukaan.

Esok, rakyat Malaysia akan meraikan sambutan Hari Malaysia secara besar-besaran di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir di Melaka. Pastinya kita akan menyaksikan lautan manusia membanjiri di setiap sudut lokasi.

Dalam kita bergembira, jangan lupa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kita jaga.

* Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan SinarPlus