Jaringan Haaland persis Cryuff, Ibrahimovic

Iklan
Aksi akrobatik Haaland ketika menjaringkan gol kemenangan buat City. -Foto EPA

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memuji gol kemenangan yang dihasilkan Erling Haaland ketika pasukannya bangkit menewaskan Borussia Dortmund 2-1 dalam perlawanan Kumpulan G, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu berkata, jaringan yang dilakukan pemain Norway itu mengingatkannya kepada aksi yang pernah dipamerkan Johan Cryuff dan Zlatan Ibrahimovic satu ketika dulu.

Iklan
Iklan

"Mungkin orang yang mengenali saya tahu betapa besar pengaruh Johan Cryuff dalam hidup saya. Dia (Cryuff) seorang mentor dan dia menjaringkan gol yang luar biasa buat Barcelona ketika menentang Atletico Madrid di Camp Nou.

"Ketika Erling menjaringkan gol itu, saya berasakan ia hampir sama seperti Cruyff. Selain itu, saya juga masih ingat rakan baik saya, Ibrahimovic, juga mempunyai kemampuan seperti itu untuk mengangkat kaki dengan amat tinggi dan Erling juga melakukan perkara yang agak sama seperti itu.

Iklan

"Saya fikir jaringan itu berlaku secara semula jadi. Dia elastik, fleksibel dan juga mempunyai kemampuan untuk melakukan sentuhan dan memasukkan bola ke dalam jaring. Saya fikir dia memiliki fleksibiliti seperti itu daripada ibu dan bapanya,” katanya.

Pada aksi tersebut, Dortmund terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jude Bellingham yang menanduk masuk gol pembukaan buat Dortmund pada awal babak kedua.

Iklan

Bagaimanapun, pertahanan City John Stones, berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencangnya dari jarak 20 ela pada minit ke-80 sebelum Haaland melakukan penyudah akrobatik dengan melompat tinggi dan menguis bola ke gawang lawan pada minit ke-84 bagi memastikan kemenangan kedua City dalam kempen UCL musim ini.