Rekod baharu Ikbolasen tidak diiktiraf

Iklan
Muhammad Ikbolasen bergambar bersama catatan masa dilakukannya selepas menamatkan larian dalam acara 10,000m lelaki akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto-Bernama

ATLET Pahang Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain menghadiahkan pingat emas pertama dalam sukan olahraga di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila mengungguli acara 10,000 meter (m) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Catatan 31 minit 11.62 saat (s) yang dilakukan atlet berusia 20 tahun itu berjaya mengatasi catatan A Munusamy, 31:47.95s ketika di Sukma Pahang 1996.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, rekod temasya yang dilakar Ikbolasen itu tidak diiktiraf selepas Majlis Sukan Negara (MSN) telah menetapkan sebarang catatan sebagai rekod baharu tidak akan dikira memandangkan had umur edisi kali ini dilanjutkan sehingga 23 tahun.

"Ini disebabkan edisi sebelumnya di Johor tak dijalankan, jadi atlet (berumur bawah 21 tahun) yang sudah didaftarkan dulu kita bagi peluang bertanding kali ini di bawah 23 tahun sementara bagi pendaftaran baharu semua bawah 21 tahun,” kata Ketua Delegat Teknikal Olahraga Sukma, V Govindasamy.

Iklan

Pingat perak acara berkenaan diraih, S Dinesh Varma dari Selangor (33:33.690s), manakala gangsa milik wakil Pulau Pinang, V Ruveshwaran (34:13.070s).

Dalam pada itu Ikbolasen ketika ditemui, mengakui sedikit kecewa apabila catatan yang dilakukannya itu tidak diiktiraf meskipun umurnya tidak melebihi 21 tahun seperti yang ditetapkan.

Iklan

Bagaimanapun, dia akan memastikan kekecewaan ini tidak mengganggu persembahannya yang akan turun dalam dua lagi acara 2,000 m lari berhalangan dan 5,000 m.

"Saya agak kecewa kerana rekod yang saya buat ini tidak diiktiraf oleh pihak pengurusan. Bagaimanapun saya berharap situasi ini tidak akan ganggu momentum saya dalam dua aksi selepas ini.

"Saya tekad untuk memberi aksi yang terbaik selepas ini dan mahu terus cipta rekod baru,” jelasnya.