SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) telah selesai memuktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15).
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, berikutan PRU15 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi, PH akan menyelesaikan soal pembahagian kerusi di semua negeri selewat-lewatnya 31 September ini.
"Jadi kita sasarkan 31 September ini sudah selesai sepenuhnya dan buat masa ini ia berjalan cukup baik dan tiada masalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi pemukiman atau 'retreat' kepimpinan PH di sebuah hotel pada Khamis.
Menurutnya, semua parti dalam gabungan itu akan ada pertambahan kerusi membabitkan 52 kerusi yang ditandingi Parti Bersatu Pribumi (Bersatu) pada PRU14.
Berkenaan soal calon pula, Rafizi yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, ia menjadi keputusan di peringkat parti masing-masing, namun PKR akan cuba menyelesaikan soal itu selewat-lewatnya pertengahan Oktober depan.
Sementara itu, beliau berkata, PH akan memastikan telah bersedia 100 peratus pada 1 Oktober ini untuk menghadapi pilihan raya.
"Keputusan memanggil PRU itu adalah keputusan Perdana Menteri, tapi pada peringkat PKR dan PH kita nak bersedia 100 peratus bermula 1 Oktober.
"Maksudnya kalau bubar 1 Oktober pun kita telah bersedia 100 peratus seperti mana pada PRU14," jelas beliau.
Bagaimanapun, Rafizi berpandangan PRU15 tidak wajar diadakan pada bulan November memandangkan ketika itu adalah musim tengkujuh.