BEIRUT - Seorang wanita Lubnan merompak sebuah bank di Beirut pada Rabu untuk mendapatkan wang simpanannya sendiri.
Dia dilaporkan keluar dengan membawa beribu-ribu dolar wang rompakan yang didakwa untuk membiayai rawatan hospital adik perempuannya yang sakit.
Tindakan itu dilakukan kerana bank-bank di negara tersebut menghadkan pengeluaran wang para pelanggan kerana krisis ekonomi yang melanda sejak tahun 2019 sehingga nilai mata wang Lubnan mengalami kemerosotan.
Wanita itu, Sali Hafiz menyiarkan video serbuannya di Facebook secara langsung yang berlaku di cawangan Bank Blom di Beirut.
Menerusi video itu, dia didengar menjerit kepada pekerja supaya mengeluarkan sejumlah wang ketika pintu masuk ke bank tersebut ditutup.
"Saya Sali Hafiz. Saya datang hari ini untuk mengambil wang simpanan adik perempuan saya yang sedang nazak di hospital.
"Saya tidak datang untuk membunuh sesiapa. Saya datang untuk menuntut hak saya," katanya dalam video itu seperti dilaporkan oleh AFP.
Dalam temu bual dengan pihak penyiaran Lubnan selepas serbuan itu, Sali berkata, dia berjaya membawa kira-kira AS$13,000 (RM58,922) daripada AS$20,000 (RM90,650) wang yang telah didepositkan ke dalam akaunnya.
Menurutnya, rawatan kanser untuk adik perempuannya itu memerlukan sebanyak AS$50,000 (RM226,625).
Seorang wartawan AFP di tempat kejadian berkata, minyak petrol telah dituangkan ke dalam bank semasa rompakan itu yang berlangsung kurang dari satu jam.
Sali memberitahu media, dia telah menggunakan pistol mainan anak saudaranya dalam rompakan tersebut.
Dia dan rakan sejenayah melarikan diri melalui tingkap yang pecah di bahagian belakang bank tersebut sebelum pasukan keselamatan tiba, kata wartawan AFP.
Menurut saudara maranya pula, Sali masih melarikan diri, namun agensi Keselamatan Am Lubnan menolak khabar angin bahawa wanita itu telah melarikan diri dari negara tersebut.
Pada hari yang sama juga, seorang lelaki turut merompak sebuah bank di bandar Aley timur laut Beirut, lapor Agensi Berita Nasional rasmi.
Dia telah ditangkap, tambah agensi berita itu tanpa menyatakan sama ada lelaki itu telah mengambil sebarang wang. - Agensi