BENTONG - Sebanyak 45 buah motosikal dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, operasi dijalankan di kawasan lampu isyarat Sungai Marong selama sejam bermula jam 7.30 pagi.
Menurutnya, antara kesalahan yang berjaya dikesan adalah mengabaikan isyarat lalulintas dengan cara melintas di garisan berkembar di laluan Bukit Indah menuju ke Ketari.
"Operasi seperti ini akan diteruskan bagi mengesan pesalah trafik yang sering mengambil jalan mudah untuk ke bandar Bentong dengan cara membuat pusingan U di laluan Bukit Indah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Zaiham berkata, pihak polis memandang serius isu penunggang motosikal yang sering mengabaikan isyarat lalulintas yang telah ditetapkan.
Tambahnya, pihak polis juga telah menerima aduan dan rungutan orang ramai berkaitan penunggang motosikal yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun orang lain apabila membuat pusingan U di celah-celah kenderaan yang menuju ke Ketari.
"Operasi secara berterusan akan dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya khususnya di bawah pentadbiran daerah Bentong mematuhi peraturan lalulintas yang telah ditetapkan," jelas beliau.