'Beri pesakit slip preskripsi ubat lengkap'

Iklan
Gambar kecil: Amrahi

SHAH ALAM - Doktor swasta perlu memberikan slip preskripsi ubat yang lengkap sekiranya diminta berbuat demikian oleh pesakit yang mendapatkan rawatan dengan mereka.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, pemberian slip berkenaan adalah penting bagi membolehkan pesakit mendapat maklumat tepat mengenai ubat yang diambil.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, ketiadaan pengasingan pendispensan di sektor rawatan utama swasta menunjukkan lompang yang besar dalam aspek keselamatan pengubatan.

"Keselamatan pengubatan dalam sistem kesihatan dwi wajah di negara ini adalah satu isu yang besar yang secara terus melibatkan kemaslahatan rakyat. Ini lebih ketara di sektor swasta.

Iklan

"Aspek keselamatan pengubatan ini sangat dititikberatkan di sektor awam manakala kekurangan ahli-ahli farmasi di hospital-hospital swasta dan ketiadaan pengasingan pendispensan di sektor rawatan utama swasta menunjukkan lompang yang besar dalam aspek keselamatan pengubatan.

"Perkara ini secara langsung melibatkan aspek keselamatan pesakit. Adalah menjadi hak pesakit untuk mendapatkan slip preskripsi ini dan membeli dari mana-mana premis farmasi komuniti yang berdaftar di negara ini mengikut pilihan mereka.

Iklan

"Isu ini berkait rapat dengan keselamatan pengubatan kerana slip preskripsi yang tidak disaring oleh ahli farmasi adalah satu risiko yang jelas dan boleh memudaratkan pesakit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, profesional atau petugas kesihatan terutamanya ahli farmasi juga perlu mempunyai kompetensi yang sesuai dalam bidang keselamatan pengubatan bagi memastikan pesakit tidak mendapat ubat yang salah.

"Dalam konteks negara Malaysia, peranan ahli-ahli farmasi untuk memastikan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan untuk semua dilihat dari segi polisi kerajaan mengikut Dasar Ubat Negara (DUNas) di mana semua ubat di pasaran Malaysia mestilah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah agensi regulatori iaitu Agensi Regulatori Farmasi Negara.

"Aspek regulatori yang dimainkan oleh ahli-ahli farmasi di sini adalah sangat signifikan kerana selain pendaftaran produk, pemantauan penggunaan produk berdaftar juga dilakukan selepas ianya berada di pasaran melalui aktiviti farmakovirgilans,” jelas beliau.

Justeru katanya, peranan ahli farmasi sebagai pakar ubat dalam menyediakan ubat yang selamat dan berkesan kepada pesakit. Selain itu, penglibatan aktif mereka dalam keselamatan pengubatan adalah sangat signifikan demi mendapatkan rawatan yang berkesan untuk para pesakit.