ALOR SETAR - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kerajaan negeri Kedah menjalankan transformasi adaptif bangunan ikonik Memorial Tunku Abdul Rahman kepada Perpustakaan Digital Kedah (KDL) bagi memangkin ekonomi digital.
Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, KDL yang terletak bersebelahan dengan Taman Jubli Perak di sini dilancarkan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Menurutnya, KDL merupakan fasa baharu dalam evolusi perpustakaan di negeri ini yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan kemudahan moden serta koleksi digital (berbanding dengan cetakan, microform, atau media lain) yang boleh diakses melalui komputer dan peranti pintar.
"Kandungan digital juga boleh disimpan secara tempatan atau diakses dari jauh," katanya ketika Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Digital Kedah di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya, KDL boleh memuatkan 180 pelanggan pada kapasiti penuh dan pembangunannya dibahagikan kepada dua bahagian berbeza yang terdiri daripada, Bahagian 1 (The Tunku Mansion) dengan ruang membaca dan belajar peribadi, bilik permainan digital kanak-kanak dan bilik perbincangan.
"Bahagian 2 pula adalah (Annex Perpustakaan Baharu) yang terdiri daripada dewan acara serbaguna, amfiteater, kemudahan telesidang dan Galeri Digital baharu kontemporari yang menampilkan pameran maya pemimpin terkemuka Kedah," katanya.
Mohamad Haris berkata, sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia Kerajaan Persekutuan dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (RMKe-12), KDL dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan kemudahan moden selain pelbagai koleksi digital dan pangkalan data yang melibatkan kos keseluruhan projek RM15 juta.
"Kami berbesar hati kerana ditugaskan untuk mengubah mercu tanda ikonik yang meraikan sejarah dan budaya negeri Kedah menjadi salah satu daripada projek strategik yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER atau SDP 2021-2025," katanya.
Beliau menambah, lebih bermakna lagi KDL juga telah menerima pengiktirafan di bawah kategori penggunaan semula adaptif oleh Institut Arkitek Malaysia (PAM).
"Ini adalah hasil usaha kolaboratif pasukan projek yang menggunakan kaedah kreatif dan inovatif untuk mewujudkan persekitaran kondusif holistik yang menggalakkan interaksi dan kerjasama serta tempat di mana pengetahuan diperoleh melalui penggunaan ICT," katanya.
Sementara itu, Tengku Sarafudin bertitah, amalan membaca adalah satu budaya atau amalan harian yang dapat membentuk insan yang berilmu pengetahuan dan dapat mencapai kejayaan.
"Kesedaran pentingnya 'Melestarikan Budaya Membaca' adalah faktor utama bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya dengan menjadikan membaca sebagai amalan atau budaya,” titah baginda lagi.