SEREMBAN - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan kerajaan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai tindakan bijak.
Katanya, ini kerana masih ramai yang tidak jelas mengenai perkara itu hingga wujud tafsiran negatif.
"Statut Rom itu (pada dasarnya) adalah ke arah perubahan (yang lebih baik) dan lebih telus. Tetapi kita harus terima kenyataan bahawa ada permasalahan dan kebimbangan yang perlu dileraikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tak jadi tandatangan Statut Rom
"Ia sama seperti isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD)," katanya ketika sidang media program Santai Bersama Veteran Tentera di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.
Tambah Ahli Palimen Port Dickson itu lagi, kerajaan juga perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu itu supaya tidak timbul masalah.
"Ada pihak yang membuat tafsiran salah hingga timbulkan kekeliruan, jadi kerana wajar beri penjelasan mengenainya (Statut Rom)," katanya.
Terdahulu, kerajaan mengambil keputusan menarik diri dari meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf ICC.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media khas semalam.