SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Atas dasar keprihatinan untuk sama-sama mengumpul dana tabung masjid, Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (Helwa), Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 (MAI13) tampil dengan idea kreatif menjual barangan 'pre-loved'.
Ketua Biro Helwa MAI13, Muhaiyanie Mustapa, 43 berkata, inisiatif itu diambil kerana ia lebih mudah untuk dilaksanakan, selain mengambil peluang membuka reruai bersempena Ekspo Haji dan Umrah yang diadakan bersebelahan masjid berkenaan bermula semalam hingga esok.
Menurutnya, kebanyakan barangan 'pre-loved' itu antaranya adalah barangan elektrik, tudung, pinggan mangkuk, kain ela, jubah serta pakaian wanita, lelaki serta kanak-kanak.
Katanya, barangan tersebut disumbangkan oleh jemaah di sekitar Seksyen 13, di sini.
"Walaupun ia barangan terpakai tapi keadaannya masih baik dan boleh digunakan.
"Harga untuk barangan yang dijual ini juga sangat murah iaitu antara RM1 sehingga RM35 sahaja,"katanya memberitahu kerana objektif jualan bukan untuk mengaut keuntungan.
Muhaiyanie yang juga Penolong Pegawai Tadbir MAI13 berkata, setakat tengah hari tadi, wang hasil jualan yang berjaya dikumpulkan sebanyak RM400.
"Sambutan diterima sangat menggalakkan dan saya percaya kutipan jualan akan meningkat lagi lewat petang nanti.
"Kesemua wang jualan ini akan diserahkan kepada tabung MAI13 dan akan dimanfaatkan untuk program-program yang akan dilaksanakan masjid pada masa akan datang," katanya memberitahu reruai itu akan ditutup pada jam 7 petang.