Hotel bajet tawar pelacur warga asing diserbu

Iklan
Antara wanita warga asing yang dipercayai pelacur ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor di Persiaran Subang 1, di sini pada Rabu.

SUBANG JAYA - Tindakan sekumpulan wanita warga asing dipercayai pelacur yang bertindak melarikan diri menggunakan tingkap belakang sebuah hotel bajet berjaya digagalkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor, pada Rabu.

Imigresen Selangor dalam kenyataan berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu berjaya menahan 10 individu.

Iklan
Iklan

"Kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik hotel bajet itu dipercayai beroperasi sejak lapan bulan lalu.

"Antara yang ditahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai bapa ayam, lapan wanita warga asing terdiri daripada warga Thailand dan Indonesia dan seorang pelanggan lelaki warga Indonesia," kata kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati pelanggan perlu menempah terlebih dahulu pelacur menerusi aplikasi dalam talian.

"Selesai membuat tempahan, pelanggan akan dibawa masuk ke dalam bilik yang ditetapkan di premis tersebut," katanya.

Iklan

Ketika serbuan dijalankan Imigresen menghadapi kesukaran apabila pintu hadapan premis telah dikunci.

"Pintu dikunci dari dalam ketika serbuan, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat sekumpulan wanita warga asing yang cuba melarikan diri menggunakan tingkap bahagian belakang premis.

"Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan dan mereka berjaya diberkas," katanya.

Imigresen berkata, kesemua individu ditahan kemudian dibawa ke pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Bagi lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai bapa ayam, tindakan diambil di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya.