ISKANDAR PUTERI - Keputusan mengugurkan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 7 Mac lalu, iaitu ketika BN mentadbir negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, tindakan tersebut hanya diketahui oleh pentadbirannya apabila pembatalan rizab berkenaan diwartakan selepas mendapat kelulusan MMK ketika pentadbiran BN dan kemudiannya dilaporkan oleh media.
"Saya akui terkejut dengan laporan berita tersebut lebih-lebih lagi apabila ada rakan-rakan dalam PH yang menuduh pentadbiran Kerajaan Negeri bertindak meluluskan penguguran tersebut sedangkan hakikatnya ia berlaku ketika pentadbiran lalu,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2019) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Osman berkata, seperti diketahui umum, perubahan status Taman Negara itu dibuat bagi meletakkan Pulau Kukup sebagai Tanah Kesultanan bagi memastikan pulau tersebut terus dilindungi dengan lebih baik berikutan perubahan statusnya."Ringkasnya apabila sesuatu kawasan diubah kedudukannya menjadi Tanah Kesultanan, ia termaktub dalam Enakmen Kesultanan 1934 bermaksud tiada sebarang pembangunan boleh dilakukan di kawasan tersebut.
"Bagaimanapun penjelasan mengenai pelepasan status Pulau Kukup yang diiktiraf sebagai pulau hutan paya bakau, masih tidak mampu meredakan kegusaran rakyat,” katanya.
Sebagai sebuah kerajaan negeri yang berpaksikan kepada rakyat, katanya, beliau akan memastikan Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor.
"Hasil perbincangan, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenaan untuk Pulau Kukup terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor dan hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh Kerajaan Negeri di bawah Perbadanan Taman Negara Johor. Ini bertujuan menjadikannya sebuah produk pelancongan negeri.
"Patik menjunjung kasih atas titah berkenan DYMM Tuanku. Tindakan tersebut menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap kepentingan hutan paya bakau yang bertindak sebagai penahan ombak semula jadi dan juga memelihara kepentingan biodiversiti,” katanya.
Selain itu, Osman berkata, status mengenai Pulau Kukup itu juga telah diusulkan dalam Dewan Negeri Johor.
"Saya bersetuju memaklumkan untuk membincangkan usul ini dalam MMK. Oleh yang demikian isu Pulau Kukup ini tidak perlu dipanjangkan lagi memandangkan ianya masih kekal sebagai Taman Negara Johor, Pulau Kukup.
"Di dalam Dewan yang mulia ini juga, saya sebagai wakil rakyat dan juga Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri ingin menegaskan apa juga kepentingan rakyat akan didahulukan walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan,” katanya.
Adun PH kawasan Kempas itu turut menegaskan bahawa dirinya bukanlah boneka kepada sesiapa, tetapi bertuankan rakyat yang memberikan kepercayaan kepada pasukannya.
"Ini tidak akan sesekali dikhianati. Percayalah, saya dan barisan Exco akan terus bekerja kuat untuk memastikan negeri berdaulat ini. Kami tidak akan sesekali mengkhianati hak dan amanah rakyat,” katanya.