SHAH ALAM – Dewan Ulamak Pas menyifatkan sudah tiba masanya rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada gagasan penyatuan ummah yang mengutamakan prinsip bersatu padu selain teguh mempertahankan nilai agama, budaya dan warisan sejarah dalam negara ini.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya menyifatkan budaya dibawa Pakatan Harapan khususnya tidak sesuai dengan rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan dan kesejahteraan.
Apatah lagi katanya, parti tersebut yang lantang melawan rasuah turut dilihat menyokong pemimpin mereka yang terlibat dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa.
"Keadaan itu tidak membaiki keadaan malah semakin meruncing ibarat tikus membaiki labu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad berkata, PH juga telah membelakangkan janji manifesto yang dikemukakan kepada rakyat dalam pilihan raya dengan alasan manifeto bukanlah sebuah 'kitab suci'.
"Lebih malang lagi, pemerintahan PH juga menjadi lubuk kepada pengaruh golongan liberal dan sekular bertapak seterusnya mendorong penggubalan dasar-dasar negara yang tempang,” ujarnya.
Tambah beliau, kegagalan pemerintahan PH sepanjang 22 bulan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai kredibiliti untuk mentadbir kerajaan Persekutuan mahupun negeri.
Sudah tiba masa rakyat sokong gagasan penyatuan ummah
Iklan