'Kenyataan Tok Mat tak ubah kata-kata bekas ketuanya'

Iklan
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan calon PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama sebahagian penduduk ketika hadir pada ceramah umum di Bandar Ekar, Rantau, malam semalam. - Foto Sinar Harian/ADAM AMIR HAMZAH

KUALA LUMPUR - PKR membidas kenyataan calon BN bagi PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menuntut pengundi di sana agar ‘mengenang budi’ beliau semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, PKR melihat kenyataan itu sebagai terdesak, angkuh malah memalukan Mohamad sendiri dan menunjukkan sikap tidak ikhlas beliau semasa memegang jawatan itu.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Shamsul Iskandar menegaskan adat Melayu tidak mengajar bangsanya agar menuntut supaya dikenang perkara baik yang telah dilakukannya.

"Perbuatan Mohamad Hasan ini saling tak tumpah seperti apa yang telah dilakukan oleh mantan ketuanya iaitu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta pengundi agar ‘You help me, I help you’ pada pilihan raya umum yang lalu.

Iklan

"PKR menyifatkan tuntutan ‘mengenang budi’ ini terpaksa dilakukan setelah beliau terlanjur bahasa dengan berkasar bahawa bukan Melayu hanyalah ‘penumpang’ di negara ini ketika berucap di hadapan kelompok Melayu dalam PRK Semenyih baru-baru ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut mendesak Mohamad memohon maaf kepada rakyat Malaysia serta menarik balik kata-kata beliau.

Iklan

Tegasnya, kenyataan bekas ADUN Rantau itu seolah-olah menidakkan sumbangan dari semua agensi serta penduduk Rantau sendiri yang berusaha membangunkan daerah itu.

"PKR menyeru agar pengundi Rantau menterjemahkan sendiri betapa sifat dua wajah beliau apabila berhadapan dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

"PKR sentiasa berpegang teguh kepada pendapat bahawa sesiapa sahaja yang dilantik untuk memikul tanggungjawab sebagai ADUN haruslah menggalas mandat tersebut dengan penuh amanah, dedikasi dan rendah diri.

"Bukannya untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi membuat tuntutan di kemudian hari agar membalas kembali kerja-kerja serta budi pekerti yang telah ditaburkan,” ujarnya.

Katanya lagi, PKR dan PH komited untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat mampu milik yang terbengkalai serta tidak dapat diselesaikan ADUN dan kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini.

"PKR percaya dan beriltizam bahawa selepas puluhan tahun mengecapi kemerdekaan, setiap penduduk Rantau harus dan berhak mempunyai kediaman sendiri,” katanya.