BN terus pertingkat kedudukan Sabah, Sarawak jika kembali berkuasa

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Kedudukan Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkatkan sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 apabila BN kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sabah dan Sarawak juga akan terus menjadi rakan kongsi yang strategik dari segi pembangunan ekonomi dan politik.

"Pada masa yang sama banyak lagi pembangunan yang boleh dirancang bersama di antara pusat dan negeri.

"Tahniah kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg apabila lima institusi pengajian tinggi (IPT) kini dimiliki kerajaan negeri Sarawak termasuklah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bagi memperkasakan modal insan rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penubuhan Malaysia 1963 kini mencecah 59 tahun dan dalam tempoh tersebut pelbagai asam garam hidup, pahit manis kehidupan dilalui bersama.

" Fakta yang jelas ialah tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan terbentuk. Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (kemudian keluar) bersama-sama membentuk Malaysia,” katanya.

Iklan

Jelasnya, terdapat kekeliruan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia adalah tidak tepat.

"Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia. Sebaliknya Sabah dan Sarawak bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia,” ujar beliau

Iklan

Ahmad Zahid berkata, dinamika sosiopolitik semasa menyaksikan Sabah dan Sarawak kini diiktiraf sebagai wilayah dan bukan lagi negeri selepas Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] berkuat kuasa pada 11 Februari 2022.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sabah yang menerima jumlah pelaburan ketiga terbesar di negara ini dengan unjuran pelaburan terus asing (FDI) melebihi RM7 bilion pada tahun ini.

"Ini menunjukkan Sabah dan Sarawak mempunyai potensi yang besar untuk berkembang bersama-sama negeri lain di negara ini,” katanya.

Sempena Hari Malaysia ini marilah kita sama-sama menghayati Hari Malaysia dan terus bekerja kuat memelihara perpaduan, kesepaduan, keharmonian ekonomi dan kesejahteraan sosial bersama.

"Apapun perbezaan pandangan kita masih lagi sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan ini biasa dalam sebuah sistem negara demokrasi.

"Sebagai sebuah negara pelbagai etnik, agama dan wilayah latar belakang, semua kita termasuk pemimpin politik tidak wajar mengemukakan kenyataan sensitif yang boleh mengguriskan hati antara satu sama etnik yang lain,” kata beliau.

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia masih lagi matang dan rasional dan berharap perbezaan diraikan untuk membina sebuah negara dan bangsa idaman Malaysia.