Warisan teliti pembahagian kerusi di Pulau Pinang

Iklan
Shafie bersalaman dengan salah seorang peniaga di Pasar Awam Lip Sin ketika program ramah mesra pada Jumaat.

GEORGETOWN - Parti Warisan (Warisan) akan meneliti secara mendalam berhubung pembahagian kerusi dan calon di negeri ini untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diumumkan pada waktu yang sesuai.

Iklan
Iklan

"Dari segi pembahagian kerusi di negeri ini, ia masih dalam penelitian. Kita akan tentukan (pembahagian kerusi dan calon) nanti.

"Kita akan meneliti secara mendalam dan apabila tiba masanya, kita akan umumkan," katanya ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra di Pasar Awam Lip Sin, Sungai Dua di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, rakyat Pulau Pinang dilihat semakin menerima kehadiran parti itu di negeri ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha mendekati rakyat dan menjelaskan tentang apa yang berlaku di negara ketika ini.

Iklan

"Adalah amat perlu perubahan dapat dilakukan untuk meletakkan negara ini dan rakyat di landasan yang sepatutnya.

"Malaysia adalah negara yang cantik tetapi malangnya ia tidak diuruskan dengan baik.

"Kita tahu dunia berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk Malaysia tetapi mana-mana negara yang mempunyai struktur, prasarana yang 'reform', kita yakin apa sahaja masalah yang berlaku, kita boleh atasi," katanya.

Bagaimanapun katanya, permasalahan yang timbul di negara dilihat adalah berpunca daripada pemimpin politik yang berkuasa ketika ini.

"Banyak suara rakyat yang menyatakan masalah yang berlaku antaranya nilai ringgit yang merudum adalah berpunca daripada pemimpin politik. Oleh demikian, PRU15 adalah hak rakyat, tukar (pemimpin).

"Jika rakyat merasakan sistem yang ada sekarang tidak betul, mereka kena berani untuk membuat perubahan.

"Apa yang penting kita akan berhadapan dengan PRU15 dan saya yakin rakyat negara akan buat perubahan besar," katanya.