Polis Tawau patah cubaan edar ganja bernilai RM90,000

Iklan
Jasmin (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan mengandungi ganja yang dirampas dalam serbuan di kawasan bangunan premis di Batu 10 Jalan Apas Tawau.

TAWAU - Polis Tawau berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah jenis ganja bernilai RM90,000 dalam satu serbuan di kawasan bangunan premis di Batu 10 Jalan Apas di sini pada Isnin lepas.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan antara 20 hingga 43 tahun ditahan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, ketika serbuan dua lelaki didapati sedang mengangkat tiga kotak dari sebuah kenderaan di parkir bangunan berkenaan.

Iklan

"Pasukan serbuan kemudian memeriksa kotak berkenaan dan didapati mengandungi 29 bungkusan berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 27315.60 gram (27.3 kilogram) dengan nilai pasaran dianggarkan RM90,000.

Dadah jenis ganja berjaya dirampas dalam serbuan yang dilakukan pihak polis di kawasan bangunan premis di Batu 10 Jalan Apas Tawau.

"Selain itu, turut ditahan dua wanita yang turut berada di lokasi kejadian masing-masing berada di kerusi pemandu dan penumpang hadapan kenderaan terbabit," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Iklan

Katanya lagi, hasil siasatan awal mendapati dadah itu diperoleh dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan sekitarnya.

"Dadah ini kita percaya cuba diedarkan di Tawau dan sekitarnya.

"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mendapat maklumat lanjut berhubung kes ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.