Jawatan baharu AMK peringkat negeri diumum 18 September

Iklan
Mohamad Taufiq

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor akan mewujudkan beberapa jawatan baharu di peringkat negeri susulan pelantikan Majlis Pimpinan AMK Negeri Johor bagi sesi 2022–2025 yang diumumkan pada Khamis.

Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail berkata, perkara tersebut akan diumum selepas mesyuarat pertama AMK Johor yang akan diadakan pada 18 September ini.

Iklan
Iklan

"Kita akan bermesyuarat terlebih dahulu untuk memberi peluang kepada wakil dan ketua AMK setiap cabang mengemuka calon mana yang mempunyai prospek, supaya pemilihan jawatan ini nanti adil.

"Antara jawatan itu seperti Timbalan Bendahari dan Penolong Setiausaha Pengelola termasuk Biro Usahawan, Biro Belia dan Sukan serta Biro Pendidikan dan Mahasiswa," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Mohamad Taufiq berkata, pelantikan itu akan memantapkan pengurusan AMK Johor dan perlu dibuat selepas beliau mengumumkan pelantikan ketua-ketua AMK di peringkat cabang.

Jelasnya, pelantikan ketua-ketua AMK itu adalah mengikut Fasal 12.3 dan 12.8 dalam perlembagaan parti iaitu beliau selaku ketua sayap yang baharu di peringkat negeri perlu membuat beberapa lantikan tersebut.

Iklan

"Ini seperti yang termaktub dalam Peraturan AMK 2014. Justeru, saya telah meneliti, membuat pertimbangan dan membuat lantikan melibatkan majoriti setiap AMK cabang yang berada dalam negeri Johor," katanya.

Beliau berkata, AMK Johor juga mengucapkan tahniah kepada seluruh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor dan sayap Wanita Negeri Johor yang telah dilantik baru-baru ini.

Mohamad Taufiq berharap semoga pelantikan yang dibuat itu dapat memperkuatkan lagi barisan saf kepimpinan dan dapat menggembleng tenaga dalam kalangan semua anggota parti.

Selain itu katanya, AMK Johor akan memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada kepimpinan Pengerusi MPN Johor yang baharu iaitu Rafizi Ramli merangkap Timbalan Presiden PKR.

"Sokongan itu akan memastikan sayap AMK Johor terus berfungsi dengan baik dan juga bersiap sedia bagi menempuhi Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan dikeluarkan AMK Johor memaklumkan, selain Mohamad Taufiq dilantik sebagai Ketua AMK negeri yang baharu, Nicholas Paul Vincent pula dilantik Timbalan Ketua AMK Johor.

Turut dilantik ialah Muhammad Faezuddin Mohd Puad, Lau Yi Leong dan S Sharwin masing-masing sebagai Naib Ketua AMK Johor.

Sementara G Tamili (Setiausaha), K Raju (Bendahari), Mazerol Way Ah Lon (Ketua Penerangan), Amirul Hafiz Abd Hamid (Ketua Skuad) manakala Venisha NIrel John Kennedy, Lee En Xiang dan Mohd Muhaimin Husnain Mohd Muzafar dilantik sebagai Exco.

Yi Leong turut dilantik sebagai Pengarah Strategi sementara Nicholas dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya menakala enam Ahli Majlis Pimpinan AMK Negeri Johor semuanya dilantik sebagai Ketua AMK Cabang.