KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu bertindak menghapuskan sarang tebuan di papan iklan gergasi (billboard) berdekatan lampu isyarat di Jalan Hiliran di sini, pada Khamis.
Ketua BBP Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sarang tebuan yang berada pada ketinggian kira-kira 30 meter itu dimusnahkan selepas menerima aduan orang awam yang disalurkan melalui laman Facebook balai bomba berkenaan.
"Sarang tebuan itu dimusnahkan kerana berada berhampiran dengan kawasan tumpuan awam iaitu pasar raya dan taman rekreasi.
Rozizah berkata, operasi memusnahkan sarang tebuan yang berukuran 60.9 sentimeter itu memakan masa selama hampir satu jam bermula 9.27 malam hingga 10.17 malam.
Katanya, pihak bomba turut menyediakan sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP) dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) sebagai persediaan sekiranya berlaku kebakaran.
"Pihak bomba merakam penghargaan atas keprihatinan orang ramai yang menyalurkan maklumat mengenai sarang tebuan itu.
"Maklumat yang disalurkan penting kerana ia berada di lokasi tumpuan awam yang dikuatiri berisiko mengancam nyawa orang ramai," katanya.