ALOR SETAR – Sekumpulan peminat sukan lasak melakar sejarah tersendiri bersempena Hari Malaysia dengan melakukan aktiviti pendakian jambatan di Jambatan Lama Limbong Kapal, di sini, pada Jumaat.
Pengarah Program, Syed Alif Iskandar Syed Zainal Abidin memberitahu, aktiviti pendakian jambatan dilakukan empat peserta terlatih termasuklah jurulatih sukan mendaki dan atlet sukan mendaki Kedah.
Syed Alif Iskandar berkata, kesemua peserta termasuklah salah seorang berusia 51 tahun melakukan aktiviti lasak itu demi menzahirkan kecintaan pada negara.
"Aktiviti ‘urban climbing’ sememangnya kerap dilakukan di luar negara, bagaimanapun ia diadakan buat julung kali dalam negara bersempena Hari Malaysia.
"Kita mengambil peluang melaksanakan pendakian jambatan berusia 107 tahun itu selepas melihat banyak aktiviti itu dilakukan di luar negara seperti Bulgaria,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita pada program Misi Pendakian Merentasi Jambatan Keretapi Lama 107 Tahun sempena Hari Malaysia di Jambatan Lama Limbong Kapal,di sini pada Jumaat.
Aktiviti pendakian itu diadakan buat julung kalinya di Malaysia ini dianjurkan Kumpulan Pendaki Kedah, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
Beliau menyifatkan aktiviti pendakian merentasi jambatan besi sepanjang 80 meter (m) ini amat siginifikan kepada pendaki Kedah dan juga rakyat Malaysia memandangkan ia tidak pernah dibuat di mana-mana dalam negara.
Sementara itu, Pengarah JBS Kedah, Abd Aziz Abd Rahman berkata, peserta tetap meneruskan aktiviti luar biasa sempena Hari Malaysia walaupun terpaksa berdepan laluan mencabar di jambatan itu.
"Sebelum ini, kebanyakan peserta menyertai aktiviti mendaki bangunan sebelum menyahut cabaran mendaki bawah jambatan dengan merangkak seperti Spiderman bersempena Hari Malaysia,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya berharap dapat mengalakkan anak muda meneroka cabaran baharu melalui aktiviti mendaki sedemikian, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengisi masa lapang.
Menurut Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob, APM Kedah mengambil inisiatif melakukan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.
"Terbaru, APM Kedah turut menyemarakkan sambutan Hari Malaysia dengan terlibat secara langsung dalam aktiviti pendakian di jambatan besi, selain Program Fun Walk Hari Malaysia Bersama Pertahanan Awam 2022 dan latihan menyelam,” katanya.
Sebelum itu, misi pendakian di jambatan lama turut dimeriahkan dengan aktiviti ‘flying fox’ merentasi sungai dimulakan peserta cilik, Dayang Azra Humairah Awang Askandar, 5, secara solo.