BATU PAHAT - Tindakan sebuah kereta milik Exco kerajaan negeri yang menggunakan laluan kecemasan dalam keadaan jalan sesak dipercayai dalam kejadian di Tongkang Pecah di sini pada Rabu mengundang kemarahan orang ramai.
Seorang pengguna jalan raya sempat merakamkan kejadian tersebut sebelum video berdurasi 24 saat itu tular dalam media sosial.
Video itu memaparkan sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam meredah kesesakan lalu lintas di situ.
Kemudian video berkenaan disiarkan dalam media sosial seperti World of Buzz sekali gus mengundang pelbagai kritikan orang ramai yang mahukan pihak polis mengambil tindakan terhadap pemandu kereta tersebut.
Difahamkan, polis Johor telah dimaklumkan mengenai video yang tular itu dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri ditugaskan untuk menyiasat kejadian yang didakwa itu.
Setakat ini, kerajaan negeri juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan.
Pada Januari lalu, polis Bukit Aman menyeru orang ramai melaporkan kesalahan lalu lintas dilakukan pengguna jalan raya.
JSPT menggalakkan orang ramai membuat aduan itu dengan menyerahkan foto atau video kesalahan trafik yang dilakukan menerusi Facebook Messenger jabatan berkenaan atau e-mel protrafik_ba@rmp.gov.my.