SHAH ALAM - Soal agihan peruntukan dan hasil mengikut hak-hak yang menghormati semangat penubuhan Malaysia mesti diperjuangkan selari dengan soal membanteras pecah amanah dan mengetatkan urus tadbir di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, beliau percaya kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia adalah sebagai wilayah-wilayah (bukannya negeri-negeri) seperti semangat asal penubuhan Malaysia dahulu dan semua Sabah serta Sarawak berhak mendapat hasil yang adil dan setimpal dari kekayaan wilayah mereka.
Namun, beliau juga tidak mahu kekayaan itu kelak akan diselewengkan sang penguasa yang sama dari kelompok yang selama ini mengayakan diri sendiri.
"Ia soal amanah dan ekosistem yang perlu ada di peringkat Sabah dan Sarawak serta undang-undang Persekutuan Malaysia yang perlu tegas menghukum mereka (termasuk penguasa-penguasa dari Sabah dan Sarawak) yang mengaut kekayaan, demi memastikan hasil kekayaan mengalir kepada saudara-saudara di Sabah serta Sarawak.
"Mana-mana sang penguasa di Sabah, Sarawak (dan rakan kongsi mereka di Semenanjung) yang makan rasuah dan pecah amanah (termasuk ahli politik dan penjawat awam) mesti diperangi serta dihukum. Siapa yang kaya berlebihan tanpa punca pendapatan yang sahih perlu didakwa dan dihukum.
"Baharulah agihan hasil Sabah dan Sarawak yang lebih adil dalam Persekutuan ini dapat dipastikan mengalir kepada rakyat Sabah serta Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, rakyat di Sabah dan Sarawak perlu memilih penguasa serta pentadbir yang bukan sahaja jujur tetapi cerdik, berwawasan dan cekap mentadbir kerana Sabah serta Sarawak wajar membangun pada kadar yang lebih deras berbanding Semenanjung untuk berada pada tahap pembangunan sama.
"Kalau saudara-saudara berpuas hati dengan sang penguasa yang mendabik dada mengenai hak Sabah dan Sarawak sahaja tetapi tidak cerdik serta cekap membangunkan wilayah, kalau pun hasil yang banyak disalurkan kepada Sabah dan Sarawak, hasil itu akan dibazirkan kerana kegagalan mengurus serta mentadbir," jelas beliau.
Oleh demikian, ujar Rafizi bersempena Hari Malaysia 2022, rakyat Sabah dan Sarawak tidak termakan permainan politik wilayah yang sempit dengan mengadu domba persaudaraan Sabah dan Sarawak melawan Semenanjung.
"Saudara-saudara di Semenanjung pula perlu menerima kenyataan bahawa adalah tidak adil melayan Sabah dan Sarawak sebagai hanya salah satu negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia kerana itu bukanlah semangat penubuhan Malaysia dahulu," ujarnya.