IPOH - Abu mendiang Goi Zhen Feng yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, selamat dibawa pulang ke kediamannya oleh ibu bapanya, di Panorama Lapangan Akasia di sini, pada Jumaat.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah mendiang, ketika ibu bapanya tiba pada kira-kira jam 5.15 petang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum (Pahang) Sim Chon Siang, yang membantu pasangan itu di Bangkok, sejak mereka tiba di negara itu pada 30 Ogos.
Bapa mendiang Chee Kong, 50, dan ibunya berusia 45 tahun yang disambut dua anak lelaki dan perempuan serta saudara mara, tidak dapat menahan kesedihan dan hanya mampu menangis tanpa memberikan kenyataan kepada pihak media, namun bapanya berterima kasih atas liputan mengenai mendiang Zhen Feng.
Keluarga mendiang akan mengadakan upacara sembahyang selama dua hari bermula hari ini (Jumaat) untuk keluarga dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir, sebelum upacara pengkebumian diadakan di Papan Memorial Park di sini pada pagi Ahad ini.
Pada Khamis, upacara pembakaran mayat Zheng Feng telah disempurnakan di Kuil Hin Kong di Si Racha, kira-kira 120 kilometer (km) dari tenggara Bangkok, dan dihadiri ibu bapanya serta Chon Siang.
Pasangan suami isteri itu tiba di Bangkok pada 30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak lelaki mereka yang dikatakan sakit dan sedang menerima rawatan di Hospital Mae Sot, namun mereka dimaklumkan bahawa Zhen Feng, 25, telah pun meninggal dunia pada 2 pagi, 11 Mei lalu.
Pasangan itu akhirnya mendapat tahu anak mereka menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar dan dimaklumkan oleh doktor bahawa anaknya telah didera sebelum dihantar ke hospital oleh sindiket penipuan pekerjaan pada 11 April, dengan menggunakan pasport dan identiti palsu"Mun Jun Hong”.
Mangsa telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital itu dan meninggal dunia (pada 11 Mei) sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Si Racha di wilayah Chonburi dengan menggunakan nama palsu.
Pada 2 September, keluarga mangsa terpaksa mengumpul dana untuk membayar bil hospital kira-kira RM40,000, sebelum mereka dibenarkan memperoleh sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA, melakukan upacara pembakaran mayat dan membawa abu mangsa pulang ke Ipoh.
Pada 13 September lepas, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti sebenar Zhen Feng menerusi perbandingan DNA milik bapanya. - Bernama