Disiplin tinggi PJ City ikat JDT

Iklan
Pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman Hanapi cuba melepasi terjahan pemain PJ City FC, Filemon Anyie Standly pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto: Johor Southern Tigers

PENGENDALI PJ City FC, P Maniam berpuas hati dengan aksi dipamerkan para pemain The Phoenix hingga berjaya mengikat pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis.

Menurutnya, barisan The Phoenix termasuk pemain simpanan beraksi penuh berdisiplin sepanjang perlawanan hingga berjaya mengekang asakan lawan selain turut berjaya merobek gawang pelawat.

Iklan
Iklan

"Kita semua boleh nampak PJ City bermain dengan penuh semangat dan menunjukkan karakter masing-masing dengan bagus.

"Secara keseluruhannya, inilah yang kita mahukan iaitu semua pemain mempamerkan semangat juang dan permainan secara berpasukan.

Iklan

"Lebih membanggakan apabila pemain simpanan kami turut mempamerkan kualiti aksi sama dan diharapkan keadaan seperti ini berterusan untuk kita menamatkan baki saingan musim ini pada kedudukan yang lebih baik,” katanya.

Pada perlawanan itu juara Piala FA terlebih dahulu mendominasi perlawanan menerusi jaringan penyerang import, Bergson da Silva pada minit ke-48.

Iklan

The Phoenix kemudian bangkit di babak kedua apabila menyamakan kedudukan menerusi percubaan diterjemahkan Darren Lok pada minit ke-73.

Bagaimanapun, Harimau Selatan kembali bangkit menjarakkan kedudukan menerusi rembatan Akhyar Rashid pada minit ke-86.

Begitupun, PJ City yang tidak mudah mengalah kembali mengikat perlawanan menerusi jaringan R Kogileswaran pada minit ke-91 untuk menamatkan perlawanan dengan kedudukan 2-2.

Keputusan seri menyaksikan The Phoenix meraih 17 mata setelah mengharungi 18 perlawanan manakala Harimau Selatan terus unggul mengemudi carta liga dengan 43 mata setelah mengharungi 17 perlawanan.

Aksi seterusnya, PJ City bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar manakala JDT melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Oktober.