MUHAMMAD Azeem Mohd Fahmi dan Nor Sarah Adi menyambut Hari Malaysia dengan bergaya, apabila masing-masing dinobatkan raja dan ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 selepas mendominasi akhir acara riben biru pada Jumaat
Muhammad Azeem, pemegang rekod 100m kebangsaan mencatat 10.25 saat (s) untuk meraih pingat emas buat Perak, menafikan cabaran dua rakan seperjuangan dalam kem negara, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Haiqal Hanafi yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Muhammad Arsyad yang mewakili Johor merakam kepantasan 10.46s manakala Muhammad Haiqal dari Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan masa 10.50s, sekali gus gagal memperbaiki pencapaian merangkul perak pada edisi Perak 2018.
Meskipun catatan dilakukan Muhammad Azeem lebih perlahan berbanding rekod kebangsaan 10.09s miliknya, di usia 18 tahun, namun pencapaiannya hari ini membolehkan dia mengimpikan kejayaan merangkul emas dalam dua edisi berturut-turut apabila masih layak beraksi pada Sukma seterusnya.
Pada masa sama, atlet Pahang Nor Sarah Adi menepati ramalan membawa pulang emas 100m wanita selepas mengungguli saingan dengan catatan 11.91s, mengatasi atlet Sabah Nur Aishah Rofina Aling (perak) yang melakukan 12.08s dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari Selangor (gangsa) dengan 12.10s.
Sukan Olahraga Sukma kali ini terus diserikan dengan kejayaan atlet jarak jauh Pahang, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain yang memenangi emas kedua peribadinya, selepas mendominasi acara 3,000m lari berhalangan lelaki dengan masa terpantas 9 minit dan 15.24s.
Kejayaan itu hadir sehari selepas menghadiahkan emas sulung buat kontinjen Pahang menerusi acara 10,000m lelaki yang menyaksikan dia sedikit kecewa apabila catatan dilakukan tidak diiktiraf sebagai rekod baharu temasya, susulan ketetapan yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN).
Sementara itu, menjelang majlis perasmian pembukaan temasya Sukma ke-20 esok, kontinjen Johor cemerlang mendahului kedudukan kutipan pingat dengan mengumpul keseluruhan 15 pingat emas, selepas menuai dua pingat emas dari olahraga, wushu (tiga) dan karate (satu) pada Jumaat.
Melaka merupakan pencabar terdekat Johor, apabila mengumpul keseluruhan sembilan emas di kedudukan kedua, sementara lima emas yang diraih hari ini membolehkan Sabah menduduki tempat ketiga dengan jumlah kutipan tujuh emas.
Hari ini juga menyaksikan sukan wusyu yang menawarkan keseluruhan 25 emas melabuhkan tirainya selepas pelbagai kisah suka dan duka mewarnai suasana sepanjang tiga hari sukan seni mempertahankan diri itu berlangsung.
Esok menyaksikan sukan memanah, sepak takraw dan gimnastik artistik akan membuka tirai saingan dengan keseluruhan 19 emas menjadi rebutan. - Bernama