SHAH ALAM – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan meneliti setiap permohonan bantuan bagi memastikan agihan zakat sampai kepada penerima sepatutnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, agihan zakat ini merupakan perkara yang ada kaitan dengan hukum syarak.
Menurutnya, jadi sudah tentu setiap agihan akan diaudit bagi menjamin tahap ketelusannya.
"Atas dasar itu institusi zakat cukup berhati-hati bila melaksanakan aktiviti agihan, sebab itu permohonan bantuan itu perlu diteliti, perlu disaring untuk memastikan agihan itu benar-benar memenuhi hukum syarak,” katanya ketika menjadi panelis program Sinar Live bertajuk Zakat: Kutip Banyak Tapi Tak Pandai Agih pada Khamis.
Program yang disiarkan di semua platform Sinar Harian itu dikendalikan Hazwan Mokhtar selaku moderator.
Beliau juga tidak setuju dengan konsep pembasmian kemiskinan, ini kerana kemiskinan adalah satu perkara yang tidak boleh dibasmi.
"Paling penting bagi institusi zakat ini insiden kemiskinan itu dapat dikurangkan melalui peningkatan bilangan penerima bantuan zakat ini dan akhirnya bertukar jadi pembayar zakat,” katanya.
Jelasnya, pada tahun 2019, Maidam mengagihkan zakat kepada asnaf fakir dan miskin sebanyak 53 peratus diikuti pada tahun 2020 hampir 65 peratus dan meningkat pada 2021 sebanyak 68 peratus.
"Kita dapati angka ini jelas menunjukkan keutamaan asnaf fakir dan miskin bertepatan dengan realiti bahawa zakat ini dilihat sebagai alat untuk mengurangkan insiden kemiskinan,” kata beliau.
Tambahnya lagi, pada tahun 2021 sebanyak 67.35 peratus merupakan agihan kepada asnaf fakir dan juga miskin melibatkan keseluruhannya adalah RM205 juta lebih.
Mengulas lanjut mengenai kelemahan dalam konteks agihan zakat, beliau berkata, terdapat dua kelemahan iaitu persepsi dan hebahan kurang agresif dan kreatif.
"Institusi zakat perlu tahu bagaimana cara terbaik unutk mempromosikan aktiviti agihan yang berlaku di institusi zakat agar diketahui umum," ujarnya
Prestasi agihan dan kutipan zakat Maidam
2015: 97.4%
- Agih RM123,351,875.9
- Kutip RM126,641,997.25
2016: 123%
- Agih RM164,620,860.95
- Kutip RM133,642,573.15
2017: 131%
- Agih RM181,889,941.538
- Kutip RM137,949,523.03
2018: 117%
- Agih RM188,510,053.96
- Kutip 160,718,725.5
2019: 107%
- Agih RM191,240,463.33
- Kutip RM178,654,905.67
2020: 92.35%
- Agih RM171,122,295.83
- Kutip RM185,295,130.32
2021: 98.87%
- Agih RM202,281,370.23
- Kutip RM204,575,146.20
2022 (sehingga 12 Sept): 86.80%
- Agih RM125,082,276.25
- Kutip RM 144,481,561.81