JAIS sahkan surat arah kibar bendera separuh tiang

Iklan
Mohd Zawawi dan surat pekeliling yang dikeluarkan JAIS pada Jumaat.

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan surat yang tular pada Jumaat berkenaan arahan kepada masjid dan surau untuk mengibarkan bendera Selangor separuh tiang bermula Sabtu hingga Isnin.

Ia berikutan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurut sumber dalaman agensi berkenaan, surat berkenaan dikeluarkan pada Jumaat kepada masjid dan surau di Selangor.

"Sah daripada kami (JAIS)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, beliau sedang mendapatkan pengesahan daripada JAIS mengenai surat tersebut.

"Tapi saya perlu semak dulu kerana titah baginda umum untuk pejabat kerajaan. (Untuk) masjid dan surau, saya tidak pasti, akan periksa dulu," katanya.

Iklan

Pada Jumaat, sebuah pekeliling daripada JAIS meminta bendera Selangor dikibarkan separuh tiang di masjid dan surau di Selangor bermula Sabtu hingga Isnin tular dalam media sosial.

Pengumuman tersebut bagaimanapun mendapat reaksi negatif daripada pihak masjid yang menganggap ia tidak wajar dilaksanakan oleh institusi tersebut.

"Masjid tempat kami membesarkan ALLAH SWT, bukan tempat menzahirkan kesedihan untuk kematian Ratu Elizabeth II.

"Imam masjid meninggal dunia pun kami tidak kibar bendera separuh tiang.

"Maaf. Arahan ini sudah melampau sehingga melibatkan masjid dan surau, tempat kami mengagungkan ALLAH," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.