SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Gerakan Tanah Air (GTA) dipimpin olehnya bukan parti politik biasa sebaliknya ia adalah gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik.
Beliau yang merupakan Pengerusi Penaja GTA berkata, golongan tersebut adalah mereka yang tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam negara.
"Mereka mendapati tidak ada satu pun parti politik yang memenuhi kehendak negara. Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasilkan kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara.
"Kecewa dengan keadaan politik dalam negara, ramai mereka memilih untuk mengasingkan diri daripada politik. Ramai pula yang tidak akan mengundi.
"Malangnya kerana tidak mengundi, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mereka tolak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, dengan keadaan itu negara akan mengalami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum pilihan raya umum (PRU).
"Mereka perlu digabung dalam satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan kemajuan negara,” katanya.
Dr Mahathir berkata, GTA mewakili golongan berkenaan selain pemimpin dan ahli gabungannya bersih daripada segala jenayah serta tiada berkepentingan peribadi.
"Dengan menggembleng rakyat yang cinta negara dan bertanding dalam PRU15, rakyat akan ada pilihan selain daripada parti politik biasa,” ujarnya.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendedahkan, calon-calon GTA dalam PRU15 nanti akan terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan (NG0), tokoh akademik, profesional dan parti politik.
"Insya-ALLAH, dengan sokongan dari semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU15 dan mendirikan kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang, perlembagaan, kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.