WASHINGTON - Lebih 1,000 penerbangan di Perancis dibatalkan pada Jumaat, berikutan pengawal trafik udara mengadakan mogok untuk menuntut kenaikan gaji.
Mogok selama sehari itu diadakan selepas beberapa bulan rundingan berhubung gaji dan rancangan pengambilan pekerja, lapor United Press International (UPI).
Kesatuan kawalan trafik udara, SNCTA, dalam satu kenyataan memaklumkan masalah kekurangan kenaikan gaji itu sesuatu yang tidak wajar. Pekerja memulakan mogok pada 6 pagi Jumaat.
Pihak berkuasa penerbangan Perancis meminta syarikat penerbangan menghentikan separuh penerbangan dan menggesa penumpang menangguhkan perjalanan, sebagai langkah persediaan untuk menangani kesan akibat mogok itu.
Banyak syarikat terpaksa membatalkan penerbangan termasuk membabitkan penerbangan yang hanya melalui ruang udara Perancis dan keadaan ini mencetuskan ketidakpuasan hati.
Ryanair membatalkan 420 penerbangan.
Air France pula membatalkan 55 peratus penerbangan jarak dekat dan sederhana serta 10 peratus penerbangan jarak jauh.
Sementara itu ratusan penerbangan kendalian syarikat EasyJet turut terjejas.
Pengembara Perancis mungkin akan menghadapi lebih banyak gangguan pada akhir bulan ini berikutan mogok tiga hari yang dirancang pada 28 hingga 30 September. - Bernama