PASIR MAS - Penternak biri-biri baka garut mahu Kelantan menjadi hab ternakan haiwan itu bagi meningkatkan pendapatan mereka.
Pengerusi Penganjur Pertunjukan Domba Garut, Ahmad Marzuki Ab Hamid berkata, garut berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana nilai dalam pasaran tempatan mencecah sehingga RM5,000 seekor.
"Spesies biri-biri ini berasal dari Indonesia yang mulanya dibawa masuk ke negara kita untuk menjana pendapatan penternak, namun bertukar kepada hobi kerana keunikan seperti tanduk yang sangat cantik.
"Baka asli garut berkualiti tinggi yang dipanggil F One di Indonesia berharga ratus juta rupiah atau antara RM40,000 hingga RM50,000 seekor,” katanya ketika ditemui di Pertunjukan Domba Garut di Tendong di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Ahmad Marzuki berkata, baka garut yang ada di Malaysia sudah lama dibawa masuk ke negara ini melebihi 10 tahun lalu dan sudah bercampur dengan baka biri-biri tempatan.
"Sebab itu usaha membawa masuk lebih banyak baka asli ini diperlukan untuk mengekalkan keaslian garut di negara ini.
"Garut boleh dikomersialkan lagi sama ada untuk tuntutan hobi atau ternakan makanan termasuk korban dan akikah kerana saiznya yang lebih besar berbanding biri-biri spesies tempatan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fadhli meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan Kelantan khususnya Pasir Mas menjadi hab pembiakan dan penternakan garut bagi menjana pendapatan selain menarik pelancongan.
"Penternakan biri-biri ini sudah berpuluh tahun bermula, tetapi tidak diberikan peluang untuk berkembang kerana antara lainnya adalah polisi di antara kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia.
"Jadi, kalaulah polisi rentas negara dapat diberikan kelonggaran akan ada peluang lebih besar untuk baka-baka baharu dibawa masuk atau diimport untuk pembiakan garut di negara ini,” katanya.