Rancangan Kawasan Khas Wang Kelian bakal dibangunkan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis sedang mewujudkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Wang Kelian bagi memastikan pembangunan dan pertumbuhan kawasan tersebut selari dengan Struktur Rancangan Negeri Perlis.

Iklan
Iklan

Exco Kemajuan Luar Bandar & Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, RKK berkenaan belum dibentangkan dan ia masih dalam proses penyediaan.

Menurutnya, ia perlu dilakukan secara teliti dan terancang agar segala perancangan selari dengan Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis.

Iklan

"Perlis sebelum ini amat terkenal dengan Zon Aliran Bebas atau dikenali sebagai 'free flow' iaitu kemasukan pelancong melalui pintu sempadan Wang Kelian dan Thailand secara bebas tanpa perlu pas sempadan atau pasport untuk hari Sabtu dan Ahad setiap minggu.

"Namun ia menjadi sejarah setelah kes pemerdagangan manusia berlaku menyebabkan konsep tersebut dihentikan atas faktor keselamatan negara,” katanya.

Iklan

Semalam Sinar Harian melaporkan Pengerusi Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis (KUPPs), Dr Ammar Hassan yang mahu Wang Kelian dibangunkan semula kerana nama Wang Kelian yang sebelum ini popular sebagai syurga membeli-belah mungkin terkubur.

"Kita teroka sektor pelancongan lain yang ada di Wang Kelian, yang mempunyai tujuh keistimewaan yang boleh dijadikan pakej pelancongan menarik.

"Tarikan yang semakin mendapat tempat di hati pelancong ialah Wang Kelian View Point dibangunkan di puncak Bukit Wang Kelian dengan ketinggian 304 meter dari aras laut,” ujarnya.

Lawatan tapak Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof (kanan), yang turut dihadiri Asmaiza (kiri) dan Ruzaini (dua dari kanan) untuk melihat pembangunan Arked Niaga Wang Kelian pada 6 Januari lalu.

Menurutnya lagi, beberapa tarikan lain termasuk kewujudan sekumpulan beruk Kentoi yang tiada di mana-mana hutan di negara ini, kecuali di Wang Kelian dan sering dilihat di beberapa lokasi sepanjang jalan Wang Kelian.

"Selain itu, Kampung Wang Kelian pula mempunyai sejarah lampau, dibuka oleh waris keturunan Kesultanan Brunei dan sehingga kini terdapat beberapa peninggalan berharga seperti pedang dan makam didakwa waris keturunan Brunei yang disimpan dan dijaga oleh penduduk,” katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chuping itu, terdapat juga produk Agrotourism Ladang Nenas MD2 yang boleh dilawati bagi menimba pengalaman baharu proses penanaman nanas.

"Keistimewaan lain, Taman Negeri Perlis iaitu taman negeri pertama ditubuhkan pada 1997 yang mengunjur atas Banjaran Nakawan. Aktiviti lasak ditawarkan seperti meneroka Gua Wang Burma yang mempunyai formasi gua unik serta pendakian puncak tertinggi Perlis yang merupakan titik paling utara di Semenanjung Malaysia.

"Terdapat kemudahan sokongan seperti Pusat Pelawat, Monomun Bersejarah Wang Kelian, chalet, asrama, dewan terbuka dan denai-denai hutan yang menarik untuk melihat flora dan fauna, antaranya tumbuhan endemik pokok Bogak sejenis tumbuhan purba yang masih boleh ditemui di sini,” ujarnya.

Sementara Exco Hubungan & Kerjasama Sempadan Negeri, Ruzaini Rais berkata, pelan strategik untuk pembangunan Wang Kelian sedang dilakukan bagi mengubah wajah pekan tersebut agar sektor ekonominya kembali aktif.

"Kerajaan negeri sudah beberapa kali mohon agar Zon Aliran Bebas Wang Kelian dapat dibuka kembali namun kita akur pada keputusan kerajaan Persekutuan.

"Oleh itu, kita perlu cari alternatif lain untuk bantu peniaga, antaranya membangunkan semula Arked Niaga Wang Kelian yang dinaik taraf dan dicat semula dengan warna-warni berkonsepkan ‘bandar Eropah’,” katanya.

Pada 5 September, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tegaskan, kerajaan tidak bercadang membuka semula zon aliran bebas di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, yang dimansuhkan sejak 2015. Ini kerana keutamaan adalah bagi memastikan kegiatan jenayah yang boleh menyebabkan sempadan negara dibolosi secara haram dapat dibanteras.

Ruzaini memberitahu, pembangunan arked tersebut dilakukan secara berfasa dan dijangka dapat beroperasi pada penghujung tahun ini.

"Kita dalam proses baik pulih dan naik taraf Arked Niaga Wang Kelian untuk disewakan kepada peniaga dan agensi penguat kuasa kawalan sempadan di sini. Saya percaya keseluruhan bangunan akan siap sepenuhnya pada tahun 2025 mengikut fasa, dengan konsep perniagaan berbeza berbanding pekan-pekan sempadan lain dalam negara,” ujarnya.

Menurutnya, manakala deretan gerai usang di belakang arked tersebut akan dirobohkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dalam masa terdekat.

"Kita perlu bersihkan tapak niaga tersebut sebelum merancang pembangunan semula di tapak berkenaan. Arahan pengosongan telah dikeluarkan kepada pemilik gerai niaga dan sekiranya masih gagal berbuat demikian dalam tempoh tertentu, kawasan tersebut akan dibersihkan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya lagi.

Ruzaini berkata, kerajaan negeri sedang berusaha agar pelancong kembali mengunjungi Wang Kelian bagi mengembalikan status pekan tersebut yang sebelum ini popular sebagai syurga membeli-belah.

Zon Aliran Bebas di Wang Kelian terletak kira-kira 500 meter dari Wang Pranchan, Thailand dimansuhkan pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi mengekang penyeludupan barangan terlarang yang menjadi ancaman kepada negara.

Pemansuhan dibuat susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia di atas Bukit Wang Burma pada tahun sama.