IPOH - Kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) menghasilkan aplikasi mudah alih, Talent Perak sebagai platform memudahkan golongan muda mencari peluang pekerjaan di setiap daerah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan aplikasi itu merupakan usaha berterusan kerajaan negeri untuk penyediaan peluang pekerjaan dan persiapan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri.
"Ia juga dapat memastikan kebolehpasaran graduan negeri ini dapat dipertingkatkan.
"Ini adalah selari dengan komitmen kerajaan negeri yang sedang giat membuka kawasan industri baharu selain peningkatan permintaan daripada syarikat-syarikat multinasional untuk membuka atau meluaskan operasi mereka di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Anak Muda (KAMU)@ Lokein-O-Rama dan Majlis Pelancaran aplikasi Talent Perak di Stadium Indera Mulia di sini, pada Sabtu.
Kata Saarani, Talent Perak kini boleh dimuat turun di telefon bimbit masing-masing menerusi Google Play Store.
Pada majlis sama turut diadakan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pasak, Institut Darul Ridzuan (IDR) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Saarani berkata, kerjasama itu adalah bagi melaksanakan program pembangunan belia di negeri itu.
"Melalui MoU tersebut, Pasak, IDR dan Perkeso akan bekerjasama untuk meneruskan serta melaksanakan program berbentuk pembangunan kerjaya, latihan kemahiran selain penyelarasan data pekerjaan.
"Ini akan digunakan dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri menerusi ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi," katanya.