PERAK FC gagal memanfaatkan peluang bermain di hadapan 16,000 penyokong apabila sekadar seri 1-1 dalam perlawanan terakhir Liga Premier menentang Kuching City FC di Stadium Perak, di Ipoh pada Sabtu.
Minit awal perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah lebih menguasai perlawanan menerusi beberapa gerakan di kawasan pertahanan Kuching City FC.
Pemain Perak FC, Farid Khazali dan Syamim Yahya antara yang berjaya mengucar-kacirkan pertahan lawan namun tidak cukup untuk mencipta jaringan.
Pasukan Kuching City FC bagaimanapun memperoleh jaringan akibat kesilapan pemain pertahanan Perak FC, Sunday Afolabi yang tertanduk ke gawang sendiri pada minit ke-16.
Seperti mendapat tonik, pasukan lawan terus mengasak kubu tuan rumah dengan percubaan terus ke pintu gawang namun berjaya dinafikan penjaga gol Perak FC, G Yuganes.
Perak FC cuba bangkit dengan mengatur beberapa peluang namun gagal memecah kebuntuan.
Beberapa gerakan menarik dicipta menerusi sepakan penjuru dan sepakan percuma yang diperoleh tuan rumah.
Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan Kuching City FC.
Bersambung babak kedua, Yusri Che Lah membuat pertukaran tiga pemain dengan memasukkan Luciano Guaycochea, Indra Putra Mahayuddin dan Wan Zack Haikal mengeluarkan Stipe Plazibat, Ferris Danial dan Khairul Syafiq Mustaffa.
Percaturan Perak FC menampak perubahan positif apabila jentera serangan berjaya memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
Pada minit ke-61, Perak FC membuat satu lagi pertukaran selepas Afif Asyraf mengalami kecederaan dengan memasukkan Nasrol Amri Kamarul Azhar.
Perak memperoleh peluang minit ke-64 menerusi hantaran Sunday Afolabi yang disambut Guaycochea namun penjaga gol lawan, Shaiful Wazizi berjaya menepis keluar percubaan tersebut.
Kuching City FC hampir menambah jaringan pada minit ke-70 menerusi Wan Mohammad Faiz selepas penjaga gol tuan rumah gagal terlepas bola mujur tendangan sekadar melepasi palang.
Pelawat kemudiannya menghidangkan beberapa serangan tetapi tidak berjaya membolosi gol Perak FC.
Peluang terbaik Perak FC muncul pada minit ke-80 menerusi sepak percuma oleh Wan Zack Haikal namun tendangan tepat ke tengah gawang berjaya ditumbuk keluar penjaga gol.
Berselang lima minit kemudian, Stadium Perak menjadi gamat dengan jeritan penyokong apabila Guaycochea menghadiahkan jaringan pertama Perak FC sekaligus menjadikan kedudukan 1-1.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat dengan Perak FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata.