Tambah bajet untuk pendidikan

Iklan
Peningkatan peruntukan terhadap bidang pendidikan perlu dilaksanakan setiap tahun bagi menyokong kemajuan bidang pendidikan negara. Gambar kecil: Alimuddin

SHAH ALAM - Peruntukan Bajet 2023 terhadap sektor pendidikan perlu ada pertambahan sebanyak 10 hingga 30 peratus berbanding pembentangan belanjawan tahun lalu.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, peningkatan peruntukan itu perlu dilaksanakan setiap tahun bagi menyokong kemajuan bidang pendidikan negara.

Iklan
Iklan

"Ini disebabkan oleh bilangan penduduk yang bertambah ramai maknanya kita perlu sekolah yang lebih banyak, guru dan peralatan-peralatan yang canggih sekarang ini terutamanya yang berkait dengan teknologi maklumat (IT).

"Sudah tentulah ia memerlukan perbelanjaan lebih. Itu belum lagi dikira makmal komputer, buku teks, keperluan utiliti seperti elektrik dan air.

Iklan

"Kesemua itu memang dari tahun ke tahun akan bertambah,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Ulas Alimuddin, peruntukan Bajet 2023 juga perlu beri tumpuan kepada sekolah agama seperti tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama persendirian yang juga mempunyai bilangan pelajar yang ramai.

Iklan

"Sekolah-sekolah ini juga perlu dapat bantuan dari segi peruntukan latihan. Walaupun sekolah tersebut adalah sekolah swasta tetapi disebabkan bilangan pelajar mereka ramai, jadi kita ingin melihat perkembangan aliran pendidikan alternatif ini maju seperti mana sekolah-sekolah aliran kebangsaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut beliau, usaha pemerkasaan pendidikan semasa melalui peruntukan bajet perlu dilihat dari dua aspek iaitu infrastruktur dan kandungan pembelajaran.

"Infrastruktur maknanya bangunan-bangunan sekolah perlu ada penyelenggaraan setiap tahun untuk pertambahan kemudahan bagi para pelajar dan guru.

"Yang kedua, dari segi kandungan pembelajaran maknanya latihan-latihan guru, buku teks dan kaedah-kaedah pelajaran misalnya sekarang ini penggunaan komputer sudah bertambah banyak,” katanya.

Tambahnya, kaedah pembelajaran baharu seperti bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penggunaan ICT serta robotik juga memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Mahu tidak mahu kita kena terlibat sama kerana ini adalah perubahan dari segi global. Jadi kita perlu ikut sama dengan perubahan tersebut,” katanya.