KELANTAN menjadi pasukan seterusnya menempah tiket ke suku akhir bagi acara bola sepak di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 selepas menundukkan Sabah 3-0, pada Sabtu.
Pada saingan berlangsung di Universiti Malaya Arena, Kelantan dilihat bermula garang pada awal perlawanan apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Amirul Izwan Mamad Rusdi pada minit ketujuh.
Iklan
Iklan
Sabah kemudian membuat kesilapan yang memberi manfaat kepada Kelantan apabila Mohd Syahmi Idris secara tidak sengaja menjaringkan gol ke gawang sendiri pada minit kecederaan babak pertama dalam percubaan mengeluarkan bola dari kotak penalti.
Bersambung babak kedua, Kelantan terus berada di kelas tersendiri selepas Muhammad Amirul sekali lagi menghadiahkan gol penutup buat negeri pantai timur itu pada minit ke-81 dan keputusan kekal sehingga ke wisel penamat.
Sementara itu, Pulau Pinang sekali lagi mempamerkan kehebatan selepas menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Kedua-dua jaringan diledak Mohd Idrzuwan Mohamad Daud dan Muhammad Syamel Idzham Shahriza pada minit ke-43 dan ke-66.
Kekalahan yang menimpa Kedah memberi kelebihan kepada Perlis untuk mara ke suku akhir selepas berada di kedudukan kedua melihat kepada perbezaan kurang satu bolos berbanding Kedah. - Bernama