SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat calon BN PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa pernah melakukan pemindahan wang ke luar negara secara tidak sah melalui pengurup wang, kata Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.
Menurutnya, sehingga kini bekas menteri besar itu tidak diambil sebarang tindakan.
"Siapa kata Mohamad orang bersih? Sebab saya orang pertama bersama Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Anthony Loke Siew Fook pada waktu itu telah buat laporan polis dan SPRM kerana beliau bawa duit keluar guna pengurup wang.
"Sampai sekarang tak ditangkap. Nanti saya akan jumpa SPRM persoalkan kenapa tak tangkap dia. Jika malam ini ada wakil SPRM, saya minta tolong pergi buat siasatan, apa cerita sebenarnya," katanya ketika berucap di Bilik Gerakan di Taman Kelab Tuanku Mambau di sini, malam tadi.
Menurutnya, tiga penggal Mohamad sebagai ADUN Rantau, DUN itu tetap sama, tiada perubahan meskipun berhampiran dengan bandar Seremban, Port Dickson dan Sepang, Selangor.
Zulkefly berkata, sekiranya Mohamad menang dalam PRK berkenaan, ia hanya merugikan penduduk DUN Rantau.
"Beliau tak lagi boleh jadi menteri besar kerana di DUN Negeri Sembilan, PH ada 20 kerusi dan BN ada 16 kerusi.
"Tak boleh tukar apa-apa pun. Yang akan jadi masalah adalah penduduk Rantau kerana Rantau tidak akan berubah,"katanya.
Pada 2009, portal MalaysiaKini melaporkan, Bank Negara melakukan siasatan terhadap seorang pengurup wang tempatan yang didakwa terbabit dalam pemindahan RM10 juta ke London.
Laporan berkenaan turut memetik terdapat penglibatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 2008 dalam skandal terbabit.