Johor penentu PH, BN atau PN menang PRU15: Rafizi

Iklan
Rafizi

JOHOR BAHRU - Johor menjadi penentu Pakatan Harapan (PH), BN atau Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana kekuatan politiknya yang mempunyai kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, negeri itu menjadi tumpuan setiap kali PRU kerana mempunyai 26 kerusi Parlimen dan dianggap amat penting terutama dalam usaha membentuk kerajaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Di Malaysia kerusi Parlimen paling banyak adalah di Sarawak iaitu 31 kerusi, kedua adalah Johor (26 kerusi) diikuti Sabah (25 kerusi) Parlimen. Kalau kita nak ubah negara dan tukar kerajaan di Putrajaya, puncanya mesti datang dari Johor, tidak ada cara lain.

"Mana-mana parti politik sama ada PKR, UMNO, BN, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau PN, tiada gabungan politik di negara ini yang boleh jadi kerajaan di Putrajaya kalau tak menang kerusi-kerusi Parlimen di Johor," katanya berucap dalam Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru pada malam Sabtu.

Iklan

Turut hadir Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Pengarah Strategik PKR.

Rafizi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, orang Johor perlu sedar betapa pentingnya mereka dalam menentukan keputusan PRU dan tidak mengambil mudah peranan yang perlu dimainkan.

Iklan

Menurutnya, atas sebab kepentigan di negeri itu beliau dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor sekali gus menepis dakwaan pelantikan berkenaan adalah kerana beliau mahu bertanding di negeri ini pada PRU15.

Sementara itu, Rafizi dalam sidang akhbar berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada awal tahun ini tidak boleh dijadikan penanda aras dalam menghadapi PRU15 kerana situasi dan keadaannya amat berbeza.

"Mana-mana parti yang masuk PRU kali ini dengan berkiblatkan kepada keputusan PRN Johor, dia akan ada masalah kerana keputusan PRN itu tidak benar-benar melambangkan suasana sebenar," jelas beliau.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, banyak faktor mempengaruhi keputusan PRN Johor dan sehingga kini susah untuk mengenal pasti punca utamanya sama ada pengundi tidak keluar mengundi atau disebabkan pengundi atas pagar.

"Kita dapati undi rendah kepada PH terutama dalam kalangan orang Melayu, kita tidak boleh beritahu dan yakin 100 peratus faktor undi rendah kerana (orang Melayu) sudah beralih sokongan atau penyokong atas pagar tidak keluar mengundi, ini dua faktor berbeza," katanya.

Jelas Rafizi, sentimen pengundi Johor ketika ini amat sukar 'dibaca' dan PKR menerima kekalahan dalam PRN Johor dan akan memperbaiki kesilapan sebelum ini dengan memikat pengundi menerusi pendekatan seperti program Ayuh Malaysia yang kini diadakan di seluruh negeri itu.

Bagaimanapun katanya, menerusi siri jelajah yang dimulakan menampakkan pengundi-pengundi atas pagar sudah mula terangsang dengan kempen-kempen yang dilakukan selain akan terus memberi penjelasan bersama-sama komponen PH pada setiap minggu sehingga PRU15.

Selain usaha itu beliau berkata, PKR dan PH dilihat berpotensi menang di negeri ini kerana sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN sebenarnya masih tidak berubah sama seperti sebelum PRU14.

"Walaupun UMNO nampak menang (pada PRN Johor) tetapi itu tidak melambangkan keadaan sebenar sokongan dan prospek dalam PRU akan datang kerana sokongan kepada UMNO itu (pada PRN Johor) tidak naik melepasi sokongan pada 2018 (PRU14).

"Undi kepada UMNO masih lagi sekitar 41 atau 42 peratus, maksudnya majoriti pengundi yang keluar menolak UMNO dan itu pun dalam 55 hingga 57 peratus sahaja pengundi (keluar mengundi dalam PRN Johor)," ujarnya.

Malah katanya, UMNO sendiri hanya yakin menang 16 kerusi daripada 20 kerusi Parlimen yang disasarkan UMNO pusat untuk menang pada PRU15.

Beliau mendakwa, kepimpinan dalaman UMNO sendiri ketika ini sedang bergolak mengenai sasaran kerusi tersebut dan difahamkan sasaran realistik UMNO Johor sekitar 10 hingga 12 kerusi sahaja.