TAWAU - Seorang pekerja ladang maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh penghadang jalan dalam kejadian di Kilometer 26 Jalan Merotai - Bombalai, di sini pada awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Mohd Rizdwan Baharuddin, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 pagi dan seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 32 kilometer.
"Sebaik tiba, sebuah kenderaan jenis Proton Pesona terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan dengan seorang mangsa lelaki tersepit.
"Pasukan bomba kemudian mengeluar mangsa yang tersepit dalam kenderaan dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 5.50 pagi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dalam perjalanan arah Bandar Tawau menuju ke Merotai.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kota Kinabalu, seorang pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari di Jalan Tun Razak, di sini pada jam 1.20 pagi Ahad.
Pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari di Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu.