11 penghuni cemas, inap desa dihempap pokok tumbang

Iklan
Lima rumah terjejas teruk apabila dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Taman Seri Telok Mas, yang berlaku pada jam 4 pagi Ahad. - Foto Bernama

MELAKA - Sebelas ahli keluarga berdepan detik mendebarkan apabila inap desa yang dihuni mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku di sini jam 4 pagi Ahad.

Mohd Syafiq Hamdan, 35, yang datang dari Johor Bahru untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit berkata, dia tiba ke Homestay Seri Telok Mas itu pada jam 4 petang Sabtu.

Iklan
Iklan

"Tapi tidak lama kemudian, sekitar jam 4 pagi, saya dengar dentuman kuat dari atas. Rupanya sebatang pokok tumbang dan menghempap bumbung depan termasuk garaj," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Seri Telok Mas, di sini pada Ahad.

Dia bersyukur tiada kecederaan atau kerosakan yang dialami oleh ahli keluarganya kecuali cermin sisi kereta seorang daripada ahli keluarganya pecah.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohamad Rizuan Zainal Abidin, 39, berkata, dia yang ketika itu sudah bangun untuk menyiapkan keperluan meniaganya, reda dengan kejadian itu dan bersyukur kerana isteri dan empat anaknya selamat.

"Selain bahagian garaj dan ruang tamu terjejas, kereta juga rosak akibat terkena ranting dan dahan pokok yang patah," katanya yang menyewa rumah di kawasan itu lebih setahun lepas.

Iklan

Dalam kejadian 4 pagi pagi Ahad, empat rumah termasuk sebuah inap desa melibatkan lima keluarga dengan 20 penghuni di Taman Seri Telok Mas terjejas teruk apabila dihempap pokok yang tumbang akibat hujan lebat dan ribut.

Tiada mangsa yang dilaporkan cedera manakala kerja-kerja membersihkan sedang giat dijalankan termasuk memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang menggunakan kren sementara kerugian masih tidak dapat dipastikan. - Bernama